PENTINGNYA BELAJAR SEJARAH UNTUK MEMAHAMI MASA KINI
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَلۡتَنظُرۡ نَفۡسٞ مَّا قَدَّمَتۡ لِغَدٖۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah(dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri memperhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat); dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hashr: 18)
Firman Allah yang dinyatakan di atas menjadi satu suruhan yang cukup kuat kepada kita sebagai umat Islam untuk mengkaji dan mendalami sejarah. Sejarah bukanlah hanya sekadar rangkaian peristiwa-peristiwa tetapi sejarah ialah tafsiran kepada sesuatu peristiwa dan pengertian mengenai hubungan-hubungan nyata yang mana peninggalannya memberi kesan dan ibrah yang mendalam kepada kita. Sejarah juga sangat penting dalam kehidupan manusia untuk dijadikan panduan dan iktibar kepada kita bagi memperbaiki kesilapan masa lalu dan membolehkan kita mencipta kejayaan yang lebih gemilang pada zaman kita hari ini. Tanpa kita belajar daripada kesilapan dan kesalahan masa lalu, kita mungkin akan mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh orang terdahulu.
Berdasarkan kajian para ilmuan terkenal, insan terhebat yang patut dijadikan contoh oleh umat pada hari ini tanpa mengira bangsa dan agama adalah Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ telah membawa sejarah bersama Islam yang sempurna yang merangkumi semua aspek kehidupan tidak kira sama ada dari sudut pendidikan, politik, pemerintahan dan sebagainya. Tunjuk ajar serta kebijaksanaan Rasulullah ﷺ dalam menyebarkan Islam dan merangka strategi menentang musuh Islam daripada pelbagai golongan adalah suatu perkara yang amat mengagumkan dan telah menjadi satu sejarah yang sempurna yang boleh dijadikancontoh teladan kepada seluruh umat manusia pada hari ini. Tradisi kegemilangan sejarah ini seterusnya disambungkan lagi oleh para sahabat sehinggalah Islam tersebar ke seluruh dunia.
Melalui sejarah, kita juga dapat mengkaji, mendalami serta mempelajari kejayaan bangsa dan negara seperti zaman keemasan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 yang boleh dijadikan perangsang bagi memicu kemajuan negara kita. Seterusnya, digelar zaman keemasan Kesultanan Melayu Melaka kerana Melaka pada masa itu menjadi sebagai pusat perdagangan yang terbesar sekaligus menjadi pusat penyebaran agama Islam. Pelabuhan Melaka terletak di tengah-tengah jalan perdagangan di antara India dengan China. Kedudukan strategik Melaka ini menjadikan Melaka selamat daripada tiupan angin kencang monsun barat daya kerana dihalang oleh Pulau Sumatera. Selain itu, semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, istana sendiri merupakan pusat kegiatan ilmu. Istana dijadikan tempat pertemuan ulama, pendakwah dan cendekiawan Islam. Antara aktiviti yang dijalankan di istana ialah penulisan, penterjemahan dan penyaduran kitab agama Islam. Ini adalah antara hikmah penting bagi kita untuk mengkaji dan mendalami sejarah.
Terdapat 1001 kebaikan mengkaji dan mendalami sejarah. Antara kebaikannya ialah melahirkan generasi intelektual yang berpengetahuan luas dan bijak bertindak dalam melakukan sesuatu perkara. Ini memberikan keuntungan kepada masyarakat dan negara kita hari ini kerana generasi inilah sebenar-benar generasi yang dinantikan oleh masyarakat untuk membawa negara kita supaya setaraf dengan negara-negara yang lain. Dengan mengkaji dan mendalami sejarah juga dapat menyedarkan generasi hari ini betapa berharganya jasa dan pengorbanan orang terdahulu dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara sekaligus menyebarkannya sehingga mampu menguasai hampir dua per tiga kuasa pemerintahan dunia. Seterusnya ia dapat menanam semangat patriotisme dalam diri kita sendiri bagi menyambung kegemilangan dan belajar daripada kesalahan orang-orang terdahulu.
Sebagai kalam penutupnya, kita hendaklah memperbanyakkan mengkaji dan mendalami karya-karya serta peninggalan para cendekiawan agar kita sentiasa sedar akan kepentingannya dan tidak terpengaruh dengan anasir-anasir luar terutamanya anasir budaya barat. Dalam pada itu juga kita hendaklah menjadi insan yang proaktif dalam mengkaji sesuatu sejarah supaya kita tidak mudah untuk diseleweng oleh para orientalis Barat yang gigih untuk memusnahkan kita. Terdapat satu potongan ayat al-Quran yang menjadi suatu peringatan bagi kita yang berbunyi:
لَقَدْ كَانَ فِيْ قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّاُولِى الْاَلْبَابِۗ مَا كَانَ حَدِيْثًا يُّفْتَرٰى وَلٰكِنْ تَصْدِيْقَ الَّذِيْ بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيْلَ كُلِّ شَيْءٍ وَّهُدًى وَّرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُّؤْمِنُوْنَ ࣖ
“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” ( Surah Yusuf: 111)
Oleh itu, marilah sama-sama kita mengkaji dan mendalami sejarah agar kita mampu menjadi insan yang bermanfaat untuk ummah hari ini agar Islam sentiasa berada di posisi terbaik di persada dunia.
Rujukan:
Disediakan oleh:
Ustazah Nur Fashlini binti Mazlan,
Kuliah Bahasa Arab,
Universiti al-Azhar.
Muat turun PDF RISALAH UBS SIRI 09 – PENTINGNYA BELAJAR SEJARAH UNTUK MEMAHAMI MASA KINI