MENELADANI AKHLAK RASULULLAH SAW
Bulan Rabi’ul Awal semakin menghampiri, berbaki separuhpurnama lagi. Ianya adalah bulan Islam ketiga dalam kalendar Hijri. Namun, ada apa dengan Rabi’ul Awal?
Padanya ditakdir Tuhan menjadi bulan yang penuh kemuliaan, bulan yang penuh dinanti kehadirannya, bulan yang menjadi kerinduan bagi semua pencinta sang kekasih Rasulullah SAW. Rabi’ul Awal adalah bulan kelahiran nabi kita, Sayidina Muhammad SAW.
Justeru, sebagai seorang mukmin yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, apakah perkara yang mampu dilakukan oleh kita semua agar sang kekasih, Rasulullah SAW merasa bangga terhadap kita sebagai umat Baginda? Di samping meraikan dan menyambut hari kelahiran Rasulullah SAW, ada hal yang terlebih utama buat kita umatnya, iaitu untuk mengikuti sunnah Baginda sebagai contoh meneladani keperibadiannya dan meneruskan perjuangan dakwahnya. Pada diri Rasulullah SAW itu ada tauladan dan contoh indah yang sangat sempurna untuk dituruti umatnya, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Ahzab ayat 21:
{لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ..}
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”
Allah sendiri merakamkan keindahan akhlak baginda di dalam karya agung-Nya, apatah lagi semesta mampu menafikannya. Persoalannya di sini, mengapa kita wajib meneladani Nabi kita, Muhammad SAW? Kerana ianya jelas sebagaimana yang disebutkan oleh Sayidina Anas R.A:
(كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أحسن الناس خلقا)
“Rasulullah S.A.W itu adalah manusia yang terpaling indah budi pekertinya” (H.R Bukhari, Muslim)
Ketika ditanya kepada Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah RA: “ Bagaimanakah akhlak Rasulullah SAW?” Beliau menjawab: “Akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran.” (H.R Bukhari, Hakim, Baihaqi dan Nasa’i)
Melalui keperibadian Rasulullah SAW yang mulia, banyak peristiwa dan contoh akhlak yang mampu diambil oleh kita supaya menjadi tauladan kehidupan. Di sini didatangkan beberapa contoh keindahan akhlak Baginda SAW. Pertama, pemurah senyumannya. Tiadalah para sahabat melihat Nabi S.A.W melainkan sentiasa terlakar dengan senyuman yang manis, sehingga jika ada hal yang membuatkan Nabi SAW marah, amat mudah diketahui para sahabat kerana berubahnya air muka Nabi SAW itu.
Kedua, Rasulullah SAW adalah seorang yang penuh kelembutan dan kasih sayang kepada manusia di sekelilingnya. Sikap cakna Baginda terhadap para sahabat sentiasa berjaya menautkan rasa kasih dan cinta mereka terhadap Baginda. Apabila bersimpuh bersama Rasulullah SAW, pasti akan bertambah kasih, terubat jiwa dan terlerai segala kesulitan yang menimpa. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik dan Abu Sa’I al-Khudri di dalam Sahih Bukhari,pernah suatu saat ketika Rasulullah SAW sedang mendirikan solat bersama para sahabat, terdengar suara tangisan anak kecil di belakang, maka Baginda membaca surah yang pendek dan ringan kerana bimbang menyulitkan perasaan ibunda kepada anak kecil tersebut. Lihatlah akan tingginya rasa cakna Baginda SAW kepada orang sekelilingnya yang wajar kita contohi dalam roda kehidupan harian.
Termasuklah di dalam sikap cakna ini, Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita tentang kepentingan bersosial sesama masyarakat. Di dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin karya Imam al-Ghazali, Sayidina Anas RA meriwayatkan sebuah hadith yang ertinya:
“Rasulullah SAW itu, ketika ada seseorang yang tidak dilihat selama tiga hari, maka Baginda akan menanyakan khabarnya, jika ia tidak hadir, maka Baginda memanggilnya, jika ia hadir, maka Baginda menghampirinya dan jika ia sedang sakit, maka Baginda akan menjenguknya.”
Tingkah laku indah inilah yang menjadi asas kepada tersebarnya dakwah Islamiah dalam diri para sahabat dan orang di sekeliling Rasulullah SAW. Penekanan untuk hidup secara bermasyarakat dan bersabar dengan kerenah merekaditekankan lagi oleh Rasulullah SAW dengan janjian daripadaAllah SWT di dalam hadith:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ ﷺ قَالَ: (مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللهُ عَنهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ القِيَامَةِ. وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ..)
“Barangsiapa yang menghilangkan kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia orang mukmin, maka Allah akan menghilangkan kesusahan dari kesusahan-kesusahan hari kiamat. Barangsiapa yang memberi kemudahan orang yang kesulitan (hutang), maka Allah akan memberi kemudahan baginya di dunia dan akhirat..” (H.R Muslim: 2699)
Melihat kepada akhlak luar biasa yang ditampilkan, wajarlah apabila Michael H. Hart, seorang orientalis mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai sosok tubuh nombor satu di dunia ini yang paling berpengaruh sepanjang sejarah. Banyak lagi kisah indah Rasulullah SAW yang sayugianya dijadikan tauladan dalam diri setiap insan bersesuaian misi diutuskan Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyempurnakan akhlak. Sabda Rasulullah SAW:
(إنَّما بُعثتُ لأتمِّمَ مكارمَ الأخلاقِ)
“Sungguh tidaklah aku diutuskan kecuali untuk menyempurnakan akhlak.” (H.R Ahmad: 8952)
Sebagai seorang mukmin, marilah kita meningkatkan kualiti takwa kita kepada Allah SWT dengan cara bersungguh-sungguh meneladani akhlak mulia Baginda Nabi Muhammad SAW dalam semua aspek kehidupan. Kerana dengan cara takwa tersebut, bererti kita mencintai Rasulullah SAW sehingga dengan penuh kesedaran yang ada, kita akan melaksanakan segala hal yang diperintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya dengan sebaiknya.
Semoga diri kita, keluarga, masyarakat, bangsa dan umat Rasulullah SAW keseluruhannya diberi pertolongan oleh Allah SWT agar mampu meneladani akhlak mulia Rasulullah SAW dalam kehidupan sehingga kita mendapat keberkatan dan kasih sayang daripada Allah SWT. Seterusnya mampu berdampingan bersama Rasulullah SAW di dalam syurga kelak. Aamin.
Filzah Huda binti Rizal,
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar Kaherah, Mesir.
Muat turun PDF RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 505 – MENELADANI AKHLAK RASULULLAH SAW