UKHUWAH ISLAMIAH DITAUTI, KEMANISAN IMAN DIRASAI
Ukhuwah islamiah merupakan sebuah konsep dalam Islam yang mendefinisikan bahawa setiap muslim dengan muslim yang lain ialah bersaudara. Konsep yang masyhur ini berasaskan ayat al-Quran serta hadis Rasulullah SAW daripada pelbagai aspek bahkan,kerap kali kita diajar tentang kaitan antara perkataan ‘ukhuwah’, ‘iman’ dan ‘Islam’. Hal ini menunjukkan bahawa ukhuwah adalah salah satu parameter utama keimanan dan keislaman individu serta menjadi salah satu daripada tiga unsur kekuatan yang membentuk ciri masyarakat Islam pada zaman Rasulullah SAWiaitu:
Pertama adalah kekuatan iman dan akidah.
Kedua adalah kekuatan ukhuwah dan ikatan hati.
Ketiga adalah kekuatan kepimpinan dan persenjataan.
Berdasarkan kepada tiga kekuatan tersebut, Rasulullah SAW berhasil membangunkan masyarakat yang ideal, memperluas ajaran Islam, mengangkat tinggi bendera tauhid dan melipatgandakan bilangan umat Islam di muka bumi ini hanya dalam tempoh kurang dari setengah abad.
Catatan sejarah menyebutkan bahawa kaum Ansar sangat gembira ketika menerima tetamu daripada kaum Muhajirin hatta berlumba-lumba menyambut kedatangan mereka di Yathrib (Madinah) ketika itu. Sikap yang dipamerkan oleh kaum Ansar ini membuat kita berasa kagum kerana pengorbanan yang besar sebegitu bukanlah mudah untuk dilaksanakan dan mungkin kita tertanya-tanya apakah dorongan yang menyebabkan mereka mampu bersikap demikian?
Hal ini sudah terjawab di dalam al-Quran dengan begitu terperinci rahsia yang mendorong golongan sahabat daripada Ansar melakukan sesuatu di luar jangkauan, walaupun keadaan mereka yang sangat fakir dan dalam masa yang sama, masih memerlukan bantuan orang lain. Allah SWT berfirman memuji mereka: “Dan orang (Ansar) yang menetap di kota Madinah dan (beriman) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin) dan mereka mengutamakan (Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan.” (Surah al-Hasyr: 9)
Ukhuwah, cinta dan mengutamakan orang lain adalah syarat kebangkitan dan kemenangan bagi sesebuah umat. Itulah strategi pertama yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin dengan membangunkan masjid yang menjadi tempat untuk membina persaudaraan dan kesatuan kaum muslimin. Justeru, ukhuwah tidak boleh dibeli dengan mata wang sekalipun dengan nilai yang besar.Namun, ia mampu dimiliki melalui penyatuan antara ikatan hati serta sikap ithar iaitu mengutamakan orang lain lebih daripada kita sendiri.
Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin dengan satu sama lainnya bagaikan bangunan yang sebahagiannya mengukuhkan bahagian lainnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Tambahan pula, orang yang terikat dengan ukhuwah islamiah dapat merasakan kelazatan dan kemanisan iman yang telah diperakui oleh Baginda SAW sendiri. Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga golongan yang dapat merasakan manisnya iman: Orang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada mencintai dirinya sendiri, mencintai seseorang kerana Allah dan ia benci kembali pada kekufuran sebagaimana ia benci jika ia dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Selain itu, mereka juga senantiasa berada dalam naungan cinta Allah sebagaimana firman-Nya: “Di mana orang yang saling mencintai kerana-Ku, maka hari ini Aku akan menaungi mereka dengan naungan yang tidak ada naungan kecuali naungan–Ku.” (Hadis Riwayat Muslim)
Sesungguhnya mereka juga termasuk dalam golongan ahli syurga sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mengunjungi orang sakit atau mengunjungi saudaranya kerana Allah, maka malaikat berkata, ‘Berbahagialah kamu, berbahagialah dengan perjalananmu, dan kamu telah mendapatkan salah satu tempat di Syurga.”’ (Hadis Riwayat al-Tirmidzi)
Akhir kata, ikatan ukhuwah ini sangatlah penting dalam membentuk sebuah masyarakat yang bersatu hati tanpa membezakan pangkat dan darjat serta mendorong kita untuk melaksanakan ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ bersama. Baginda SAW pernah ditanya tentang darjat iman yang paling tinggi, baginda bersabda: “…Hendaklah kamu mencintai dan membenci kerana Allah…” Kemudian Rasul ditanya lagi, “Selain itu apa wahai Rasulullah?” Rasul menjawab, “Hendaklah kamu mencintai orang lain sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri dan hendaklah kamu membenci bagi orang lain sebagaimana kamu membenci bagi dirimu sendiri.” (Hadis Riwayat Imam Al-Munziri)
“PEMERKASAAN BIAH SOLEHAH PENENTU MASA DEPAN ISLAM“
Disediakan oleh,
Ustaz Muhammad Wafiq Imran bin Roszainal, Kuliah Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar
Muat turun PDF RISALAH UBS SIRI 08 – UKHUWAH ISLAMIAH DITAUTI, KEMANISAN IMAN DIRASAI