MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 2023 (TAQWA ’23)
KAHERAH, 27, 28 dan 29 Jun 2023 – Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2022/2023 dengan kerjasama Pejabat Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha 2023 (TAQWA ’23) yang bertempat di Wisma Sultan Muhammad V. Majlis ini dianjurkan bagi memperingati peristiwa dan kisah pengorbanan yang tersirat disebaliknya iaitu Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS di samping mengeratkan lagi hubungan tautan ukhuwah dan mahabbah dalam kalangan ahli KPKM.
Pada 27 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijah 1444H, program tersebut dimulakan dengan solat sunat tasbih secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad Wafiq Imran bin Roszainal. Setelah itu, program diteruskan lagi dengan slot Perutusan Hari Raya Aidiladha yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Haizat bin Mohd Rashid , selaku Yang Dipertua, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2022/2023. Kemudian majlis pada malam itu diakhiri dengan jamuan ringan bersama semua ahli KPKM yang hadir.
Keesokkannya, iaitu pada 28 Jun 2023 bersamaan 10 Zulhijah 1444H, merupakan hari yang paling dinanti-nantikan oleh semua ahli KPKM untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha beramai-ramai yang bertempat di Masjid Musa Nusair, Hayyu Sabie’ bersama-sama dengan mahasiswa dan mahasiswi daripada anak Kelantan. Solat sunat dimulakan kira-kira pada jam 6.00 pagi dan diikuti dengan mendengar Khutbah Hari Raya Aidiladha.
Sejurus selepas solat sunat Hari Raya Aidiladha, para penggerak program dan ahli yang terlibat membuat persiapan untuk Gotong-royong Sembelihan dan Lapahan haiwan korban yang bertempat di perkarangan Surau Wisma Sultan Muhammad V. Aktiviti sembelihan dan lapahan dihadiri dalam lingkungan 200 orang ahli KPKM dan melibatkan 1 ekor unta, 10 ekor khoruf dan 26 ekor kambing. Pada sebelah petang pula, diadakan juga aktiviti merewang bagi sebelah akhawat.
Pada hari ketiga, 29 Jun 2023 bersamaan 11 Zulhijah 1444H, program TAQWA ’23 diteruskan lagi dengan Majlis Perasmian Program serta Muhadharah Syeikh. Majlis dimulakan dengan Muhadharah Syeikh yang disampaikan oleh al-Fadhil Syeikh Muhammad Bin Ali Al-Azhari yang bertajuk “Qasidah Raiyah Fi Madhi Khairil Bariyyah”.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot Perasmian Program yang dipengerusikan oleh Ustaz Fazrul Aiman Bin Safian. Majlis dimulakan dengan alunan nasyid Asmaul Husna, Lagu PMRAM dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Ustaz Nik Muhammad Marwan Al-Hakim Bin Nik Azhar. Majlis diteruskan dengan mendengar ucapan kata alu-aluan daripada Ustaz Iskandar Bin Noruddin selaku pengarah (TAQWA ’23) , seterusnya ucapan perasmian yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Muhamad Yusuf bin Hasani, Anggota Lembaga Penasihat Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2022/2023 selaku perasmi program sekaligus merasmikan TAQWA ’23 dengan penyempurnaan gimik program. Setelah itu, majlis ditangguhkan sebentar bagi memberi laluan kepada ahli yang hadir untuk menikmati jamuan gulai daging unta, kambing dan khoruf yang disediakan oleh pihak program dan menunaikan solat fardu asar secara berjemaah.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan slot Riang Ria Aidiladha. Slot ini dimulakan dengan persembahan nasyid daripada ahli KPKM dan soal jawab kuiz berkaitan dengan korban. Kemudian majlis diikuti dengan cabutan bertuah dan diselangi dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan Anugerah Pakaian Terbaik dan penyampaian hadiah untuk ikon UTAQ (Unit Tadarus Al-Quran) yang bertempat di surau Wisma Sultan Muhammad V. Kemudian, majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua ahli KPKM. Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha 2023 (TAQWA ’23) melabuhkan tirainya pada jam 7:00 malam.
Akhir kata, semoga majlis ini dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah antara ahli KPKM serta berjaya merealisasikan setiap objektif dan pembawaan KPKM sekaligus dapat menghasilkan natijah erti sebuah pengorbanan dan menghakis kesombongan dalam diri setiap ahli khususnya dan umat Islam amnya. Tidak dilupakan, sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada AJK pelaksana program yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan program ini serta ahli KPKM yang turut sama mengambil bahagian memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini. Moga Allah Taala mengampunkan segala dosa kita serta menerima segala amal soleh dan kebajikan kita.
Jazakumullahu khairan kathira.
“Menyahut Pengorbanan, Menggapai Ketakwaan”
Disediakan oleh:
Setiausaha Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha 2023 (TAQWA ’23),
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2022/2023