MEMPERKASAKAN SOLAT BERJEMAAH
Solat merupakan rukun kedua dalam rukun Islam dan tiang bagi agama Islam itu sendiri. Tidak dapat disangkal lagi bahawa tingginya kedudukan solat kerana diterima khusus oleh baginda Rasulullah SAW di Sidratul Muntaha ketika peristiwa Israk Dan Mikraj.
Kebanyakan umat Islam memandang remeh dan acuh tak acuh tentang perkara ini, walhal Allah SWT serta Nabi Muhammad SAW sangat menitik beratkan amalan solat secara berjemaah ini. Maka setiap perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT dan baginda SAW semestinya banyak hikmah dan kebaikan yang dijanjikan.
Oleh yang demikian, seeloknya digalakkan solat secara berjemaah di masjid yang mana pelbagai fadilat dan faedah dapat kita peroleh sebagaimana saranan baginda Nabi Muhammad SAW, sama ada rohani dan fizikal.
Mana tidaknya, apabila kita mendirikan solat berjemaah di masjid automatik kita merapatkan hubungan silaturahim dengan ahli jemaah yang lain. Selain dapat menunaikan solat berjemaah di masjid, kita juga dapat meluangkan masa dengan para jemaah lain. Jika diperhatikan, sebelum memulakan solat berjemaah para makmum akan diingatkan oleh imam untuk merapatkan bahu. Hal ini kerana Islam hendak mengajarkan bahawa berjemaah itu penting dan saling berhubung antara muslim, bukannya mencari punca yang memutuskan silaturahim.
Selain itu, kita boleh perbetulkan dan perhatikan bacaan dalam solat melalui bacaan imam ketika solat berjemaah. Tambahan lagi, rukun-rukun qauli seperti surah al-Fatihah, bacaan tahiyat akhir dan sebagainya. Jika bacaannya silap, maka solat itu akan terbatal.
Allah SWT telah menjelaskan dalam kitab suci al-Quran tentang tuntutan solat berjemaah ini. Allah SWT berfirman,
{ وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱرْكَعُوا۟ مَعَ ٱلرَّٰكِعِينَ}
Maksudnya: “Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat serta ruku`lah bersama orang-orang yang ruku`” (Surah al-Baqarah: 43).
Secara amnya, dapat kita faham bahawasanya tuntutan untuk solat secara berjemaah itu adalah penting di sisi Islam. Di samping itu, Allah SWT juga berfirman,
{ ……..وَإِذَا كُنْتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ مَعَكَ }
Maksudnya: “Dan jika engkau (hadir) bersama mereka, maka dirikanlah bersama mereka solat.” (Surah al-Nisa’: 102).
Seperti yang kita ketahui, pahala orang yang solat berjemaah di masjid bersamaan 27 kali ganda berbanding solat bersendirian yang hanya mendapat 1 pahala, itupun kalau dilakukan secara khusyuk. Sesungguhnya! Sangatlah besar pahala Allah SWT berikan kepada orang Islam yang menunaikan solatnya secara berjemaah di masjid. Islam bukan menghalang umatnya solat sendirian, tetapi Islam ingin menyeru agar umat Islam cakna dengan ganjaran daripada Allah SWT.
Analoginya mudah, jika seorang pekerja ditawarkan dengan gaji RM27 atau RM2,700 mana yang akan dipilih oleh pekerja itu? Sudah tentu RM2,700. Begitulah Allah SWT memberi pahala kepada umat Islam yang solat berjemaah.
Akhir sekali, marilah kita sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW menunaikan solat. Solatlah secara berjemaah bersama di masjid atau surau. Kita hidup kerana ingin abdikan diri kita kepada Allah SWT.
Rujukan: https://harakahdaily.net/index.php/2017/04/10/solat-berjemaah-banyak-manfaat-dan-kelebihan/
“PEMERKASAAN BIAH SOLEHAH, PENENTU MASA DEPAN”
Disediakan oleh:
Ustazah Nur Atiqah binti Zulkifly,
Timbalan Ketua Unit Risalah dan Karikatur, Unit Biah Solehah, Lajnah Dakwah dan Tarbiah KPKM 2022/2023
Muat turun PDF RISALAH UBS SIRI 07 – MEMPERKASAKAN SOLAT BERJEMAAH