MINI BAZAR RAMADAN 2023 (JUADAH ’23)
KAHERAH, 9, 10, 11, 12 dan 13 April 2023 – Mini Bazar Ramadan 2023 (JUADAH ’23) anjuran Lajnah Ekonomi KPKM 2022/2023 dengan bertemakan “Kekuatan Ekonomi Pemacu Kemantapan Organisasi” telah diadakan di perkarangan Wisma Sultan Muhammad V. Program ini bermula pada jam 4 petang dan berakhir pada jam 6 petang.
Program JUADAH ’23 dianjurkan sebagai salah satu usaha untuk menjana dan meningkatkan kewangan KPKM bagi meneruskan kelangsungan KPKM sebagai sebuah organisasi yang menitikberatkan kebajikan ahli dalam pelbagai aspek. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama ahli, mewujudkan dan membudayakan muamalat patuh syariat dan menyediakan medan kepada ahli untuk menjana pendapatan.
JUADAH ’23 turut menyajikan aneka pilihan makanan dan minuman tempatan yang sangat menarik dan dimasak sendiri oleh para pelajar. Ianya khusus buat semua pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di bumi Mesir ini bagi mengubat rindu akan sajian tanah air dan suasana bazar yang sudah semestinya menjadi kewajipan ketika tibanya bulan Ramadan di Malaysia. Sehubungan dengan itu, terdapat 10 petender yang mengambil bahagian untuk membuka gerai jualan makanan dalam bazar pada kali ini dan tidak ketinggalan juga Gerai KPKM yang menyediakan pelbagai menu makanan seperti Chicken Wing, Dimsum, Roti John, Roti Jala dan banyak lagi. Selain itu, terdapat juga gerai-gerai lain yang turut serta menjual seperti Dapur Gorgon, Gerai Souq Klate, Gerai Pokdey dan Badawi Gerai.
Pihak penganjur juga menerima dan menyambut baik akan kehadiran para pelanggan yang datang dari negeri lain seperti Pulau Pinang, Terengganu, Perlis dan banyak lagi. Semua tidak melepaskan peluang untuk turut membeli juadah berbuka puasa di bazar KPKM ini dan ianya disambut baik oelh ahli KPKM dan ahli BKAN lain. Turut hadir bersama Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah Ustaz Che Khairuleffendi bin Che Kamaruzaman bersama keluarganya bagi menyerikan lagi program Mini Bazar Ramadan 2023 (JUADAH ’23).
Hari terakhir program ini pula menjadi satu kejutan buat para penjual dan pembeli kerana jualan pada hari tersebut teramat laris sehinggakan hanya mengambil masa beberapa jam sahaja untuk menghabiskan kesemua jualan tersebut. Hal ini disebabkan oleh, para pengunjung tetap menunjukkan sokongan yang baik buat pihak program selama lima hari tersebut dengan mengajak sahabat handai dari bermacam-macam cawangan negeri yang terdapat di Mesir untuk turut sama-sama memeriahkan lagi bazar pada hari terakhir.
Akhir kalam, harapannya agar kesemua objektif yang telah disusun di peringkat program ini tercapai dengan terlaksananya JUADAH ‘23. Semoga dengan program ini dapat membantu sedikit sebanyak dalam menambah kewangan KPKM untuk perancangan akan datang di samping dapat membantu meneruskan lagi kelangsungan KPKM yang utuh selaku badan yang menitikberatkan kebajikan ahlinya dalam setiap aspek dan dapat mengeratkan ukhuwah sesama ahli.
Jazakumullahu khairan kathira.
“Kekuatan Ekonomi Pemacu Kemantapan Organisasi”
Disediakan oleh:
Nur Elia Dayana binti Ghazali
Timbalan Setiausaha Mini Bazar Ramadan 2023 (JUADAH ’23),
Lajnah Ekonomi, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2022/2023.