EKSPEDISI SINAI 2023 (TOUR ’23)
SINAI, DAHAB & SHARM EL-SYEIKH, 12, 13, 14, 15 & 16 Februari 2023 – Sekitar suasana program Ekspedisi Sinai 2023 (TOUR ’23) anjuran Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Sukan, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2022/2023. Program jaulah ini diadakan secara berasingan antara ikhwah dan akhawat, ikhwah bermula pada 12 sehingga 14 Februari 2023 manakala akhawat pada 14 sehingga 16 Februari 2023.
Program ini bermula dengan slot pendaftaran pada pukul 12.30 pagi dan semua peserta dibentangkan dengan satu slot pengisian berkaitan Fiqh Musafir. Peserta mula bertolak pada pukul 2.30 pagi dan telah tiba di Nokhtah Hasanah pada pukul 4.30 pagi untuk menunaikan solat Subuh dan sarapan pagi.
Kemudian, program diteruskan dengan taklimat perasmian ringkas yang disempurnakan oleh ustaz Muhammad Khairul Amri bin Mohd Nasir, Setiausaha Agung KPKM 2022/2023 bagi ikhwah dan ustazah Siti Nursyafilza binti Abdul Ghani, Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) KPKM 2022/2023 bagi akhawat. Seterusnya program diteruskan dengan aktiviti melawat Kubu Bar Lev di muhafazah Sinai. Sekitar jam 3.00 petang, peserta TOUR ’23 telah melawat makam Nabi Soleh AS, makam Nabi Harun AS dan ukiran lembu Samiri.
Kemudian, pada waktu Maghrib, para peserta telah check in di tempat penginapan Abu Saleem Garden dan diikuti dengan aktiviti pengisian yang disampaikan oleh ustaz Hamdan bin Ariffin, Aktivis KPKM 2022/2023 bagi ikhwah dan ustazah Sitti Najihah binti Abdullah @ Azahari, Setiausaha HEWI KPKM 2022/2023 bagi akhawat dan makan malam sambil dihangatkan badan dengan unggun api di sana. Para peserta telah memulakan pendakian seawal jam 2.00 pagi dan telah berjaya tiba di puncak Gunung Sinai tepat ketika matahari terbit. Di sana juga terletaknya ruang khalwat Nabi Musa AS bersama Allah SWT.
Seterusnya, para peserta tiba di Hotel Octopus di kawasan persiaran Dahab sekitar waktu Asar. Kemudian, program diteruskan dengan aktiviti bebas membeli belah di Pasar Dahab pada waktu petang dan aktiviti pengisian santai serta jamuan barbeque pada malam hari.
Pada hari ketiga, program TOUR ’23 diteruskan dengan aktiviti ATV Quad Bike di sekitar pantai Dahab dan kawasan bukit-bukau seterusnya telah check out daripada Hotel Octopus selepas waktu Zohor dan memulakan perjalanan pulang ke Kaherah bagi ikhwah.
Adapun bagi akhawat, program diteruskan dengan aktiviti belayar menaiki Glass Boat pada waktu pagi bagi melihat pelbagai spesis batu karang dan ikan di Laut Dahab. Pelayaran ini mengambil masa selama satu jam dan dibahagikan kepada tiga kumpulan. Sekitar jam 11.00 pagi kesemua kumpulan selesai melakukan aktiviti Glass Boat dan pulang ke hotel untuk bersiap membawa barang-barang keluar daripada hotel.
Seterusnya aktiviti diteruskan lagi dengan aktiviti ATV Quad Bike di sekitar pantai Dahab dan kawasan sekitarnya. Setelah selesai semua aktiviti, para peserta bertolak pulang ke Kaherah dan mengambil peluang singgah solat di Masjid Al-Sahabah, Sharm El-Sheikh bagi menunaikan solat jama sekitar jam 4.30 petang. Setelah itu perjalanan diteruskan sehinggalah tiba di Wisma Sultan Muhammad V sekitar jam 12.30 pagi.
Terima kasih diucapkan kepada semua peserta dan penggerak Ekspedisi Sinai 2023 (TOUR ’23). Semoga permusafiran ini diberkati oleh Allah SWT di samping menambah thaqafah dan pengetahuan sepanjang jaulah ini sekaligus dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama anak-anak Kelantan di Ardhu Kinanah ini.
Jazakumullah Khairan Kathiran.
“Pendakian Sirah, Meribat Ibrah”
Disediakan oleh:
Setiausaha Ekspedisi Sinai 2023 (TOUR ’23),
Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Sukan,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2022/2023