KELEBIHAN BULAN REJAB
Rejab adalah bulan ketujuh daripada bulan-bulan Islam. Terhimpun di dalamnya banyak kelebihan dan keistimewaan yang melebihi bulan lain.
Mengikut al-Jauhari dalam kamusnya as-Sihah, kalimah ‘Rejab’ diambil daripada perbuatan (رَجَبَ) yang memberi maknamembesarkan atau mengagungkan. Dinamakan sedemikiankerana masyarakat Arab mengagungkan bulan ini dengan meninggalkan pembunuhan.
Rejab juga salah satu daripada empat bulan haram (bulan suci) iaitu bulan yang diharamkan berlaku peperangan dan kezaliman. Oleh itu, nama lain bagi bulan ini ialah ( الأَصَمّ )kerana padanya tidak didengari suara senjata dan pertumpahan darah. Allah taala berfirman;
إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَهۡرࣰا فِی كِتَـٰبِ ٱللَّهِ یَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَ ٰتِ وَٱلۡأَرۡضَمِنۡهَاۤ أَرۡبَعَةٌ حُرُمࣱۚ ذَ ٰلِكَ ٱلدِّینُ ٱلۡقَیِّمُۚ فَلَا تَظۡلِمُوا۟ فِیهِنَّ أَنفُسَكُمۡۚ وَقَـٰتِلُوا۟ ٱلۡمُشۡرِكِینَ كَاۤفَّةࣰ كَمَا یُقَـٰتِلُونَكُمۡ كَاۤفَّةࣰۚ وَٱعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِینَ﴿ ٣٦ ﴾
Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)… ( At-Taubah : 36 )
Empat bulan haram yang disebutkan dalam ayat ini ialah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Tiga bulan terawal berturutan manakala satu lagi tunggal.
Intipati daripada ayat ini ialah Allah Taala menyebutkan secara khusus pengharaman perbuatan zalim dalam bulan sucisedangkan perbuatan itu sememangnya haram dan dicela oleh Allah Taala sepanjang zaman. Maka jika seseorang menzalimi diri sendiri dengan melanggar perintah-Nya pada bulan haram maka akan berganda-ganda dosanya sebagaimana berganda dosa si pelaku maksiat di tanah haram. Berkata Qatadah;
العمل الصالح أعظم أجرا في الأشهر الحرم ، والظلم فيهن أعظم من الظلم فيماسواهن، وإن كان الظلم على كل حال عظيما
Maksudnya : Amal soleh lebih besar pahalanya jika dikerjakan di bulan-bulan haram sebagaimana kezaliman di bulan-bulan haram lebih besar dosanya dibandingkan dengan kezaliman yang dikerjakan di bulan-bulan lain meskipun secara umum kezaliman adalah dosa yang besar.
Namun begitu, bulan Rejab ini juga dinamakan dengan ( الأَصَبّ ) kerana Allah Taala melimpahkan rahmat dan pahala yang berganda kepada hamba-Nya yang taat. Maka perbanyakkanlah perbuatan taat untuk meraih redha-Nya serta merebut pahala sebanyak mungkin. Tambahan pula setiap amalan kebaikan yang dibuat akan menghapuskan dosa-dosa kecuali dosa besar sebagaimana firmannya;
وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَیِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفࣰا مِّنَ ٱلَّیۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَـٰتِ یُذۡهِبۡنَ ٱلسَّیِّـَٔاتِۚ ذَ ٰلِكَذِكۡرَىٰ لِلذَّ ٰكِرِینَ﴿ ١١٤ ﴾
Maksudnya : Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. ( Hud : 114 )
Kaedah mengatakan berbilang nama menjadi dalil kepadakemuliaan dan kelebihan sesuatu. Sebagai contoh yang jelas, Allah Taala mempunyai banyak nama begitu juga Baginda SAW.. Maka tidak hairanlah umat Islam menyambut bulan Rejab dengan melaksanakan ibadah lebih daripada bulan-bulan lain kerana pada bulan ini ada kelebihan tersendiri. Antara amalan yang disarankan ialah :
– Qiamullail
– Memperbaharui taubat
– Berdoa pada awal malam Rejab kerana ia waktu
mustajab
– Berkata dengan perkataan yang baik ataupun diam
– Puasa sunat pada hari Isnin, Khamis dan Hari Putih pada (13,14,15 )
– Melazimi solat sunat terutama sunat rawatib
– Baca al-Quran
– Perbanyakkan zikir terutama istighfar
Sedar atau tidak semua amalan yang dilakukan pada bulan Rejab diteruskan pula pada Syaaban seolah-olah menjadi persiapan bagi menghadapi bulan Ramadan. Allah Taalamenyediakan satu medium untuk hamba-Nya meningkatkan amal ibadah serta berusaha menjauhi maksiat sejauh mungkin agar kedua-dua ini menjadi sebati tatkala menjelma bulan Ramadan.
Ibadah pada bulan ini juga diumpakan seperti perniagaan. Maka apakah ehwal bagi ahli perniagaan? Semestinya bersungguh-sungguh mencari keuntungan dan cuba sedaya upaya untuk mengelak daripada kerugian besar. Begitu jugalah perniagaan dengan Allah Taala yang mana perniagaan ini tidak akan rugi sama sekali.
Selain itu, kelebihan sesuatu bulan bukan sahaja diukurmelalui fadhilat amal bahkan dinilai juga dari segi aspek peristiwayang berlaku di dalamnya. Ulama telah menetapkan satu kaedah bahawasanya sesuatu masa atau zaman dimuliakan dengan apa yang berlaku di dalamnya. Antara kisah yang paling penting dalam bulan Rejab ialah Israk dan Mikraj.
Pada tahun ke-12 kenabian bertepatan pada tarikh 27 Rejab, Allah Taala telah membawa Baginda SAW dalam satu perjalanan, lalu disyariatkan kepada Baginda SAW ibadah solat yang merupakan rukun Islam yang kedua. Selain daripada pensyariatan solat, perjalanan ini juga untuk menetapkan dan menenangkan hati Baginda SAW selepas kewafatan dua insan tersayang iaitu bapa saudaranya, Abu Tholib dan isteri pertamanya Saidatina Khadijah RA.
Kesimpulannya, bulan Rejab mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan yang tidak patut dipandang remeh oleh kaum Muslimin. Moga-moga pengisian amalan dalam Rejab kali ini lebih bermakna dan lebih mendapat berkat daripada tahun lepas.
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان
Muhammad Ziad Zulmajdi Bin Mat Ali
Kuliah Syariah Islamiah
Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir
Muat turun PDF RISALAH FAJAR JUMAAT SIRI 498 – KELEBIHAN BULAN REJAB