Bersama Kukuhkan Warisan Ummah
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir merupakan sebuah badan kebajikan anak negeri Kelantan yang menuntut ilmu di Universiti al-Azhar, Mesir. Penubuhan badan ini bertujuan menjaga kebajikan anak negeri Kelantan daripada pelbagai aspek penting antaranya pendidikan, kewangan, penempatan dan keselamatan. Hal ini demi merealisasikan tuntutan Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran:
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰنِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ
(Surah al-Ma’idah: 2)
Maksudnya:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”
Antara aspek utama yang dititikberatkan oleh KPKM adalah pendidikan. KPKM berusaha sedaya upaya memberi galakan dan saranan kepada anak Kelantan bagi meningkatkan pengetahuan mereka melalui kelas tutorial, Majlis Anugerah Kecemerlangan dan kempen pendidikan
Agenda pendidikan ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa bantuan yang dihulurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Contohnya, sumbangan pendidikan, sumbangan program kecemerlangan, biasiswa dan pinjaman boleh ubah YAKIN serta sumbangan penghantaran mahasiswa ke Mesir.
Di samping itu, KPKM juga amat mementingkan aspek thaqafah dan softskill seperti ilmu turathi, ilmu kontemporari, ilmu kemahiran, teknikal dan siaraya demi melahirkan ulama amilin yang mampu berkhidmat untuk masyarakat bukan sekadar menjadi tenaga pengajar di masjid atau madrasah semata-mata malah mahir dari segenap sudut yang mampu disumbangkan.
Antara usaha yang dilakukan oleh badan kebajikan anak Kelantan ini juga adalah mewujudkan platform penyampaian ilmu seperti Madrasah Tok Kenali, Madrasah Saidatina Khadijah, Akademi Tok Guru, bengkel kemahiran, kursus teknikal dan siaraya dan banyak lagi. Tidak lupa juga agenda dakwah turut diperkasakan melalui Ribat Mahabbah, Muzakarah Berkelompok mingguan dan Kempen Biah Solehah.
Seterusnya, aspek kewangan juga merupakan faktor yang terpenting dalam menjaga kebajikan anak Kelantan. KPKM melancarkan Tabung Kebajikan sebagai persediaan dalam menghadapi kes-kes kecemasan seperti kecurian, kebakaran, kemalangan, bersalin dan kos rawatan tinggi. Kutipan zakat fitrah juga dilakukan pada bulan Ramadan kemudian mengagihkannya kepada anak-anak Kelantan di Mesir yang memerlukan.
Sumbangan kebajikan ini juga turut diperoleh daripada Kerajaan Negeri Kelantan ketika berhadapan situasi darurat seperti situasi pandemik wabak COVID-19. Sumbangan ini diberikan kepada KPKM dan telah diagihkan berupa bahan mentah dan barang runcit kepada anak-anak Kelantan yang terkandas di Mesir ketika itu demi kelangsungan hidup disana.
Anak-anak Kelantan di Mesir amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana menyediakan penempatan di bumi Mesir sejak zaman berzaman. Sehingga hari ini, kita mempunyai premis yang merupakan aset Kerajaan Negeri Kelantan di Mesir sebanyak tiga buah bangunan iaitu Wisma Sultan Muhammad V, Wisma Tengku Mahkota Kelantan dan Wisma Dato’ Bentara Setia.
Tambahan lagi, Kerajaan Negeri Kelantan meluluskan Belanjawan Kelantan 2022 Manfaat Anak Muda Negeri Kelantan sebanyak RM 12.6 juta bagi pendidikan dan membina sebuah bangunan baharu asrama pelajar Kelantan di Mesir. Projek pembinaan ini bertempat di Awal Sabi’, Kaherah, Mesir. Kesemua bangunan ini diuruskan dan diselenggara di bawah Pejabat Pegawai Kelantan di Timur Tengah dengan kerjasama Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir. Tambahan pula, Kerajaan Negeri Kelantan menyumbang sebuah kereta untuk kemudahan pengangkutan dan kebajikan anak-anak Kelantan di Mesir.
Dalam aspek keselamatan pula, KPKM sangat mengambil berat dalam menjaga keselamatan anak-anak Kelantan di Mesir. Antara usaha yang dilakukan adalah menyediakan perkhidmatan musyrif bagi mahasiswi yang keluar pada waktu malam mengikut keperluan, musyrif ke hospital bagi yang sakit dan juga musyrif ke luar negeri bagi mahasiswi.
Begitu juga dengan penubuhan Unit Hisbah yang memainkan peranan penting dalam mencegah kemungkaran yang berlaku seperti kerosakan salah laku sosial di kalangan mahasiswa dan mahasiswi di samping bertindak sebagai ejen penerang dan penasihat terhadap kes-kes yang berkaitan seksual, ragut, rompakan dan sebagainya kepada mahasiswa di Mesir agar berwaspada dalam setiap situasi.
Selain itu, KPKM turut mengadakan program-program kebajikan secara besar-besaran seperti Ihya’ Tarbawi Ramadan, Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan AidilAdha, Hari Asyura dan sebagainya. Program-program sedemikian diadakan demi meraikan hari kebesaran Islam di samping mengeratkan ukhuwah sesama anak Kelantan yang berada di Mesir.
Tambahan pula, Bazar Kelantan juga diadakan supaya mahasiswa cakna terhadap ekonomi dan belajar berdikari dalam pengurusan kewangan. Bukan itu sahaja, program anak-anak Kelantan di Mesir dimeriahkan lagi dengan kehadiran rombongan delegasi pimpinan Negeri Kelantan di Pelembahan Nil ini. Pertemuan dan perbincangan bersama para delegasi diatur khusus untuk anak-anak Kelantan di Mesir melalui Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan di Timur Tengah (SPEKTRUM).
Tuntasnya, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir bukan sekadar keluarga kedua yang menggantikan tugas ibu bapa dan adik-beradik di bumi Mesir tetapi keluarga ini merupakan sebuah organisasi yang mempunyai tunjang kekuatan dan titik kesatuan yang dibina dengan asas dan tapak yang kukuh sepertimana yang telah disebutkan pada huraian diatas.
Diharapkan kesatuan ini akan terus teguh dan utuh dalam menjaga kebajikan anak-anak Kelantan di bumi Mesir dan diharapkan agar keluarga ini diredhai oleh Allah SWT sehingga ke syurga.
Abdul Habib bin Sabirin,
Ketua Lajnah Penerbitan KPKM 2022/2023,
Kuliah Usuluddin (Syukbah Akidah dan Falsafah),
Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.
Muat Turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 495 – Bersama Kukuhkan Warisan Ummah