JIWA MUSLIM MERDEKA
Prolog
Daripada kaca mata Islam, manusia sememangnya merdeka sejak awal dilahirkan, yakni tidak boleh diperhamba atau diperbudak kerana menurut Islam, perhambaan diri hanya kepada Allah SWT sahaja dan tidak boleh menyekutukan-Nya. Terpahat dalam sejarah bahawa gagasan yang sama ini jugalah yang dibawa Saidina Umar RA ketika berdakwah kepada Raja Parsi. Bahkan, wahyu juga ada menyebut bahawa kita adalah sebaik-baik umat, sayugianya menyerahkan diri hanya semata-mata kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Sebelum melangkah lebih jauh, ayuh kita terlebih dahulu menghalakan pandangan kepada tanah air kita, Malaysia. Dalam usia kemerdekaan yang sudah mencapai 65 tahun, sesungguhnya lantunan merdeka yang kita laungkan dengan bangga pada saban tahun itu tidak lain tidak bukan hanyalah pada zahir tanah yang dipijak, merdeka daripada penaklukan kuasa asing, sudah tidak dijajah dan sudah mampu memerintah negara sendiri.
Ironinya, kalimah merdeka itu hanya dipalitkan pada negara sahaja, namun jiwa dan minda rakyatnya masih sama, masih terjajah. Cuba kita tilik semula, adakah diri kita sudah merdeka sepenuhnya daripada segala bentuk penjajahan atau masih lagi diulit agenda-agenda barat?
Realiti pada hari ini
Saban hari, kita dihidangkan dengan pelbagai ragam dan kerenah manusia. Dunia tanpa tembok ini menjana peluang kepada barat untuk memancing umat manusia akan ideologi-ideologi mereka. Mereka menyajikan umpan hiburan-hiburan yang melampau dan menyediakan dasar hiburan sebagai asas utama kebahagiaan jiwa. Umat Islam juga tidak terlepas daripada terpalit untuk berhibur, bersuka ria dan berlumba-lumba untuk menggapai gaya hidup yang mewah. Natijahnya, kita mula terleka dan akhirnya tersasar jauh daripada agama.
Selain itu, bibit-bibit hubungan songsang juga sudah mula menjadi normalisasi di Malaysia. Malah, penukaran jantina juga sudah tidak menjadi suatu yang aneh dan masyarakat seolah-olah sudah terbiasa dengan fenomena ini lantaran semakin hari semakin bertambah golongan yang dipanggil transgender. Lebih malang lagi, mereka menggunakan ‘keistimewaan’ mereka sebagai tiket untuk meraih populariti di muka umum.
Tambahan pula, ajaran keharusan child abortion atau pengguguran janin sudah mula menular di negara-negara barat. Para cendekiawan mereka hebat mendatangkan dalil demi dalil, hujah demi hujah untuk membenarkan perbuatan tersebut. Secara dasarnya, apa yang mereka perjuangkan sebenarnya adalah normalisasi seks bebas. Maka, benarlah kata ulamak:
المعصية تؤدي إلى المعصيات والطاعة تؤدي إلى الطاعات
“Satu maksiat akan membawa kepada maksiat-maksiat yang lain dan satu ketaatan akan membawa kepada ketaatan yang lain.”
Sahabat, beberapa fahaman yang saya datangkan di atas bukan sahaja diamati bahkan dipertahankan kesahihannya. Anak-anak muda terutamanya mudah cenderung untuk mengikut-ikut gaya hidup orang-orang barat tanpa mereka sedari bahawa mereka telah termakan jerat. Panah yang dilepaskan terkena tepat pada sasaran. Lalu, sudah merdekakah akal dan jiwa kita selaku muslim? Sudah bebaskah kita daripada ajaran-ajaran yang nyata bersimpang dengan wahyu, atau masih lagi dijajah hukum ciptaan manusia?
Bagaimana membina jiwa muslim yang merdeka?
Islam meletakkan ilmu sebagai mahkota kehidupan. Ilmu agama yang benar akan menuntun kita untuk sentiasa berjalan di atas syariat Tuhan. Sayugianya, wajib ke atas penuntut ilmu untuk mematangkan ilmu tauhid dan akidah supaya akal dan hati tidak mudah tergelincir daripada landasan agama. Bukan itu sahaja, dalam era yang penuh kebobrokan ini, kita seharusnya mengkaji ideologi-ideologi baru, apakah gagasan dan objektif di sebalik falsafah yang dicipta?
Selain itu, nafsu kita perlu dididik supaya tidak cintakan dunia. Porak perandalah kehidupan sekiranya kita meletakkan dunia di hati dan akhirat di tangan. Kita seharusnya sedar, dunia ini hanyalah tempat persinggahan sebelum menuju negeri yang kekal abadi. Bukankah Tuhan telah mencatit dalam firman-Nya, hanya nafsu yang mutmainnah sahaja yang akan pulang ke syurga?
Seterusnya, kita perlu hayati makna sebenar kemerdekaan. Bebaskan minda kita daripada dijajah fahaman-fahaman sesat. Jangan biarkan ajaran ini membarah dalam jiwa kita. Sedarlah bahawa objektif ideologi sesat yang muncul pada hari ini berpucuk pangkal daripada mahu memisahkan manusia daripada agama.
Epilog
Ketahuilah, perjuangan merebut kemerdekaan amat berat namun, hendak mempertahankan dan mengisi kemerdekaan itu ternyata jauh lebih payah. Sebagai penutup wacana, tugas kitalah untuk membimbing masyarakat di tanah air dalam membentuk peribadi muslim yang merdeka. Ideologi-ideologi baru yang datang selepas Islam adalah hasil rekaan manusia semuanya. Saya tutup dengan kalam Ilahi :
وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Surah Ali-Imran: 85)
Husnaini binti Rosmadi
Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti al-Azhar
Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 491 – Jiwa Muslim Merdeka