SEJARAH PERKEMBANGAN TELEFON PINTAR
Pastinya apabila bercerita tentang telefon, maka sudah tidak asing lagi nama tokoh terkemuka Alexander Graham Bell yang pertama kali mencipta telefon. Kajiannya terhadap alat bantu pendengaran demi menolong isteri dan ibunya yang pekak telah berjaya membawa kepada penghasilan telefon yang pertama pada 7 Mac 1876.
Kemudian, apabila diteliti pada kemunculan telefon bimbit yang pertama, maka kita akan menemukan sejarah pada tarikh 3 April 1973, di mana syarikat Motorola telah mengeluarkan telefon bimbit yang pertama seberat 1.1 kg. Alat bantu komunikasi jarak jauh ini menawarkan durasi panggilan selama 30 minit dan memerlukan 10 jam untuk dicas penuh.
Penggunaan telefon bimbit mula dipopularkan menjelang tahun 90-an yang mana menurut suatu kajian, sebanyak 11 juta pengguna telah memiliki dan menggunakan peranti ini di seluruh dunia. Beberapa tahun pada era ini melihat pelbagai kemunculan variasi telefon bimbit daripada syarikat-syarikat ternama seperti Nokia, Samsung dan banyak lagi.
TELEFON PINTAR PERTAMA
Sebelum mendalami sejarah telefon pintar, haruslah kita mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan telefon pintar. Telefon pintar (Bahasa Inggeris: Smartphone) adalah telefon bimbit yang mempunyai ciri pengkomputeran maju dan ketersambungan berbanding dengan telefon bimbit biasa. Telefon pintar membolehkan penggunanya memasang aplikasi canggih di dalamnya berasaskan pelantar telefon seperti Symbian, Android, iOS atau Windows Phone. Ia juga menggunakan sistem pengendalian yang menyediakan satu pelantar untuk pembina aplikasi.
Pada tahun 1992, telefon pintar pertama iaitu IBM’s Simon mula diperkenalkan dan ia mula memasuki pasaran pada tahun 1994. Peranti ini menawarkan beberapa fungsi baru seperti touchscreen, on-screen keyboard dan beberapa aplikasi dalaman yang memikat hati pengguna untuk memilikinya. Telefon pintar ini dijual dengan harga USD 1,100 seunit dan berjaya mencapai pasaran sebanyak 50,000 unit terjual setelah 6 bulan dikeluarkan.
“Simon” juga tidak hanya menjadi sebuah telefon bimbit yang biasa, malah juga memiliki kalendar, buku telefon, jam dunia, tempat mencatat, e-mel, keupayaan menghantar dan menerima faks serta terdapat pemasangan aplikasi permainan.
Seterusnya, sekitar tahun-tahun ini jugalah terdapat pelbagai inovasi yang ditemukan pada telefon pintar seperti flip phone, slider phone, mod getaran, servis emel, skrin berwarna, pemain MP3 dan macam-macam lagi.
TEKNOLOGI INTERNET MENEMUI TELEFON PINTAR
Menurut kamus dewan edisi keempat, perkataan internet boleh didefinisikan sebagai rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer di seluruh dunia berhubung antara satu sama lain dan mencapai maklumat pangkalan data dari seluruh dunia.
Bermula pada tahun 2000, telefon pintar mula dihubungkan dengan jaringan internet 3G yang membolehkan komunikasi internet tanpa wayar kabel diperluaskan. Inovasi pada peranti mudah alih inilah yang membuka ruang kepada pelbagai jenis lagi penemuan-penemuan baharu pada zaman kini. Hal yang demikian ini juga dapat menyumbang kepada perkembangan teknologi telefon pintar sehingga membolehkannya untuk menghantar pesanan emel yang bersaiz lebih besar, memaparkan tayangan video, menyediakan servis melayari internet dan lain-lain lagi.
Seterusnya, tahun demi tahun berlalu dan kecanggihan teknologi telefon pintar semakin berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Pada tahun 2007, tokoh ternama syarikat Apple iaitu Steve Jobs melancarkan iPhone yang pertama yang menggegarkan pasaran seluruh dunia. Kini, dunia teknologi melihat bermacam-macam kecanggihan daripada pelbagai jenama unggul seperti Samsung, Google, Xiaomi, Sony, Oppo dan sebagainya bahkan lebih banyak peranti mudah alih yang diperkenalkan seperti komputer riba dan tablet. Sehingga hari ini, boleh dikatakan hampir setiap orang memiliki telefon pintar untuk kemudahan harian daripada pelbagai sudut seperti pendidikan, ekonomi, berita, media sosial dan lain-lain lagi.
Antara kata-kata Steve Jobs yang memberi inspirasi kepada anak muda:
“Your work is going to fill a large part of your life, and the only way to be truly satisfied is to do what you believe is great work. And the only way to do great work is to love what you do. If you haven’t found it yet, keep looking. Don’t settle. As with all matters of the heart, you’ll know when you find it.”
Rujukan:
1. Artikel History of smartphones daripada laman web simpletexting.com
2. Artikel Cell phone history daripada laman web versus.com
3. Wikipedia
Muhammad Khairul Amri bin Mohd Nasir
Kuliah Dirasat Islamiah,
Universiti al-Azhar, Kaherah.
Muat turun PDF Risalah Multimedia Siri 39 – Sejarah Perkembangan Telefon Pintar