MAJLIS APRESIASI
KAHERAH, 20 Mac 2022 – Saban tahun kerajaan negeri Kelantan menghantar delegasi rombongan untuk meninjau hal ehwal kebajikan dan pendidikan anak-anak Kelantan di bumi Mesir. Ini menunjukkan keprihatinan dan kecaknaan kerajaan negeri Kelantan terhadap ‘anak emas’ mereka yang menuntut ilmu di bumi anbiya’ ini. Bagi meraikan lagi kedatangan delegasi rombongan, Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir menganjurkan majlis pengisian bersama delegasi rombongan yang dinamakan sebagai Majlis Apresiasi yang diadakan di Surau Wisma Sultan Muhammad V.
Majlis ini menggabungkan tiga slot pengisian yang berbeza dan juga dikupas oleh sosok tubuh yang berpengaruh. Acara majlis yang pertama yang diisi oleh Yang Berhormat Dato Haji Hassan bin Mohamood, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan (BBC) yang bertajuk ‘Tanggungjawab Mahasiswa Dalam Mendepani Cabaran Semasa’. Antara perkara yang ditekankan oleh Yang Berhormat adalah pelajar al-Azhar perlulah belajar bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu agama dan terkehadapan dalam membimbing masyarakat serta perlu elakkan kontorversi yang boleh membawa kepada perpecahan dan perbalahan masyarakat Malaysia.
Kemudian slot kedua diteruskan lagi dengan pengisian yang bertajuk ‘Peranan Graduan Mesir’ yang dibawa oleh Yang Berhormat Ahmad Fathan bin Mahmood, Pengerusi Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dan Yang Berhormat Haji Abd Rahman bin Yunus, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Kelantan. Pengisian kali ini lebih kepada penekanan tentang kefahaman dan persediaan yang perlu menjadi nilai tambah dalam diri mahasiswa Islam supaya kepulangan mereka ini dapat memberi sumbangan kepada kerajaan negeri Kelantan.
Pada pukul 7.30 malam, majlis dilanjutkan lagi dengan slot ketiga yang berjudul ‘Masa Depan Islam di Tangan Kita’ yang dibawa khusus oleh Yang Berhormat Ustaz Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan NGO Negeri Kelantan. Beliau menegaskan tentang misi dan visi perjalanan kerajaan Kelantan dalam membawa agenda “Merakyat Membangun Bersama Islam” yang memastikan rakyat Kelantan secara khususnya dan Malaysia amnya meneladani Islam dalam kehidupan.
Akhir sekali sebagai penutup tirai Majlis Apresiasi, majlis dialukan dengan ucapan Ustas Abdullah Khairi bin Abdullah, Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir, Ustaz Khairul Anuar bin Ismail, Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah, Ustaz Mohamad bin Yusoff, Pengetua SMU(A) Maheliah, Genting, Tumpat dan diakhiri dengan ucapan penutup oleh Yang Berhormat Ustaz Wan Roslan bin Wan Hamat.
Mudah-mudahan dengan adanya program sebegini dapat meningkatkan lagi kesedaran mahasiswa Mesir akan peranan mereka sekaligus mengeratkan lagi ukhuwah antara pelajar dan pimpinan kerajaan Kelantan. Semoga negeri Kelantan terus subur dan mara dalam meneruskan agenda dakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Disediakan oleh:
Muhammad Nasrullah bin Mohd Asri
Setiausaha Agung,
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2021/2022