SIHATKAH SAYA?
“Zara (bukan nama sebenar), aku sedih. Entah kenapa sejak kebelakangan ni rasa tak selesa nak berinteraksi dengan orang ramai. Mudah rasa lemah badan dan tertekan.” Luahannya itu kubaca dan cuba fahami. Bukan sekali dia menghadapi situasi sebegitu rupa. Mungkin ini masanya untuk meyakinkan sahabat kesayanganku ini supaya berikhtiar menjalani rawatan kesihatan mental sekiranya benar sangkaanku padanya ini.
Pernahkah anda berhadapan dengan situasi berikut? Atau mungkin episod dan kisahnya berbeza.
*****
Apakah maksud kesihatan mental?
Kesihatan mental merupakan kebolehan seseorang individu menyedari potensinya, boleh berdaya tindak terhadap tekanan kehidupan, bekerja dengan proaktif dan boleh menyumbang kepada masyarakat. Keadaan kesihatan mental individu boleh berubah melalui rangsangan faktor luaran dan dalaman. Antara faktor masalah kesihatan mental ialah:
- Genetik.
- Bahan kimia dalam otak dalam keadaan abnormal atau tidak stabil.
- Salah guna dadah.
- Keadaan penyakit yang memiliki simptom yang sama atau meningkatkan masalah kesihatan mental.
- Keadaan stress yang berpanjangan juga boleh menyebabkan masalah mental.
- Faktor luaran dan dalaman. Akronim STRES:
Faktor Luaran (Ekstrinsik) | Faktor Dalaman (Personal) |
Suasana persekitaran: Perubahan COVID-19 dan stigma masyarakat sekeliling. | Support system yang hilang, tidak mampu Serasi/adaptasi dengan suasana baharu. |
Trauma: Penderaan fizikal, keganasan rumah tangga dan pembulian. | Temperament/personality: ‘Perfectionist’ terhadap gerak tindakan dan pengurusan masa. |
Relationship: Konflik dalam perhubungan kekeluargaan mahupun persahabatan. | Rehat yang tidak mencukupi serta aktiviti fizikal yang terbatas. |
Ekonomi yang terjejas: Hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. | Ekspektasi (dalaman dan luaran) |
Sistem pendidikan: Sosial media. | Self control dan self esteem yang rendah dan kurang keyakinan diri. |
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 154-156, yang bermaksud:
“Sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Antara tip-tip penjagaan kesihatan mental ialah SMILE:
- Self-control, Skills, Self-talk.
- Bijaksana menganalisa masalah, tenang, mempunyai kawalan diri serta emosi yang stabil dalam menangani stress atau tekanan.
- Persediaan kemahiran komunikasi, pengurusan tekanan emosi, masa dan latih diri untuk bercakap atau melakukan perkara yang positif, serta tidak lupa untuk menghargai diri sendiri.
- Muslim First, Mindful Gym, Me Time
- Tingkatkan kecerdasan spiritual dan sangkaan baik terhadap Allah SWT.
- Banyakkan zikrullah, relaksi, manfaatkan masa dengan hobi kegemaran.
- Ilmu, Idea
- Ilmu merupakan perisai diri dan membantu pengurusan hidup harian di samping bijak menjaga hubungan baik sesama manusia.
- Look, Listen, Link
- Kenali sahabat, bahasa kasih sayang dalam hubungan dan kenali tanda-tanda
- Jadi pendengar yang baik, beri kepercayaan dan dapatkan bantuan nasihat daripada kaunselor/doktor sekiranya gejala semakin serius dan menganggu fungsi harian.
- Kawalan Emosi, Empati, Ekspresi
- Selami perasaan atau empati dengan keadaan orang lain, luahkan perasaan dan dapatkan bantuan nasihat.
- Cari ‘positive circle’ dan ‘support system’ serta belajar merasa bahagia dalam memberi.
Masalah kesihatan mental tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia mampu meragut nyawa sekiranya tidak mendapatkan rawatan dan pantauan pakar. Sekiranya anda mendapati sahabat mahupun ahli keluarga mengalami tekanan hidup, sekurang-kurangnya hulurkanlah bantuan, pinjamkan telinga mendengar rintihannya dan cuba cari solusi penyelesaian masalah yang dihadapi.
Pernahkah kalian mendengar perkataan swacinta? Swacinta ialah perbuatan menghargai diri, mengutamakan kebahagiaan diri, kesihatan mental dan fizikal melebihi apapun. Pesananku buat diri dan sahabat seperjuangan, dalam kita berkorban dan memanifestasi erti menjadi sebaik-baik manusia, jangan lupa tentang kesihatan diri. Mana mungkin diri yang sakit dapat terus berbakti dan memberi yang terbaik. Moga Allah reda.
Aimi Syuhada binti Mizam
Tahun 4 Kuliah Perubatan
Universiti Al-Azhar
Muat turun PDF Risalah Kesihatan Siri 103 – Sihatkah Saya