Jenis-Jenis Microsoft Office dan Kegunaannya.
Pada era perkembangan teknologi, aplikasi seperti Microsoft Word, Excel dan PowerPoint tentunya sudah tidak asing lagi dalam kerja kepejabatan, bahkan menjadi satu keperluan kepada para pelajar dan mahasiswa. Aplikasi ini merupakan bahagian daripada Microsoft Office dan ia diusahakan oleh sebuah syarikat gergasi iaitu Microsoft Corporation. Microsoft Office keluaran terkini ialah MS Office 2019, namun dijangkakan akan keluar versi yang terbaharu pada pertengahan tahun 2021. Persoalannya, apakah jenis-jenis aplikasi dalam Microsoft Office dan kegunaannya?
Microsoft Word.
Aplikasi ini digunakan untuk membuat dokumen seperti proposal, surat dan dokumen-dokumen lain. Hasil daripada aplikasi ini akan terbentuknya format (.docx). Pada versi 2003 dan 2007, namanya ialah Microsoft Office Word namun telah ditukarkan menjadi Word bermula Microsoft Office 2013.
Antara fungsinya ialah: membuat surat, jadual, dokumen, menghasilkan tulisan pelbagai variasi (Word Art) dan memasukkan gambar.
Microsoft Excel.
Aplikasi ini diperkenalkan pada tahun 1985, yang merupakan sebuah perisian jenis hamparan dengan menggunakan interface grafik. Menurut Investopedia (sebuah syarikat digital Forbes), Excel merupakan satu alat yang tidak ternilai bagi pengurus portfolio, peniaga dan akauntan. Selain itu, Excel juga menjadi pilihan ramai untuk kegunaan analisis mudah dan keperluan dalam sesebuah pejabat.
Antara fungsinya ialah: memproses data secara automatik dalam bentuk pengiraan asas, formula, fungsi dan lain-lain serta menyiapkan tugasan berkaitan perakaunan dan perekodan. Excel juga boleh menjadi kalkulator, alat persembahan grafik dan analisis kewangan.
Microsoft PowerPoint.
PowerPoint merupakan pilihan para pelajar dan pekerja untuk membuat dokumen persembahan dalam bentuk slaid. Hal ini kerana, ia mudah untuk digunakan, mempunyai butang untuk persembahan slaid serta dapat menghasilkan efek visual yang lebih baik dan membantu penyampaian maklumat dengan lebih berkesan. Ini menjadi faktor utama pemilihan aplikasi ini dalam kehidupan seharian.
Microsoft PowerPoint mempunyai banyak kelebihan, antaranya: membuat slaid, mempunyai banyak pilihan tema dan memudahkan persembahan slaid. Anda juga boleh menambahkan gambar, teks, klip audio, video atau carta mengikut kesesuaian.
Microsoft OneNote.
Umum mengetahui bagaimanakah cara mencatat nota dalam sebuah buku nota fizikal. Namun tahukah anda bahawa anda boleh mencatat dan mengumpul nota digital seperti teks, gambar, fail, lukisan, klip audio dan video dalam sebuah buku nota digital yang dibawa dalam peranti anda? Bukan itu sahaja, anda juga boleh berkongsi dan berkolaborasi dengan sumber luar apabila diperlukan.
OneNote menyediakan fungsi mencatat nota dengan cepat, membuat buku nota dan membantu menyediakan bahagian/sekatan dalam buku nota digital anda. Aplikasi ini membantu pengumpulan maklumat dengan pantas dan berkesan dalam sesuatu mesyuarat dan penyuntingan dalam talian.
Microsoft Access.
Microsoft Access merupakan satu aplikasi yang dapat membantu proses pembuatan, pemprosesan dan pengurusan data sehingga mudah difahami. Tambahan lagi, Access berupaya menjadi pangkalan data, mengumpulkan jumlah pekerja atau pelajar, merekod gaji, merekod kehadiran, mengira stok barang dan boleh juga menjadi pangkalan data kewangan.
Microsoft Outlook.
Microsoft Outlook menawarkan fungsi membaca e-mel secara luar talian atau secara jaringan internet, serta memudahkan pembuatan dan pengiriman e-mel. Outlook membantu anda untuk mengelola personal address ataupun alamat e-mel. Selain itu, ia berfungsi sebagai kalendar dan anda pasti tidak akan terlupa sesuatu mesyuarat atau janji temu dengan orang yang penting.
Terdapat banyak lagi aplikasi yang ditawarkan oleh Microsoft Corporation yang sesuai digunakan oleh semua lapisan masyarakat seperti OneDrive dan Publisher. OneDrive berfungsi seperti Dropbox dan Google Drive serta ia mempunyai 5GB storan percuma. Manakala Publisher pula, sesuai dengan namanya dapat membantu anda menerbitkan pelbagai produk seperti kad ucapan, risalah ataupun majalah.
Kesimpulannya, semua aplikasi yang dikembangkan sama ada untuk sistem operasi (OS) Windows ataupun Mac adalah untuk membantu pengguna mengoptimumkan hasil kerja dan tidak terhad kepada satu aplikasi sahaja serta boleh memanfaatkan media elektronik untuk kepentingan dakwah. Semua pengguna seharusnya mengetahui serba sedikit tentang aplikasi Microsoft Office, supaya boleh dijadikan sebagai suatu nilai tambah dan membantu anda terpilih sebagai seseorang yang kompeten dan berdaya saing.
Sumber:
- https://ms.bestcomputerdirectory.com/versiones-microsoft-office
- http://tyfontechsdnbhd.blogspot.com/2018/02/pengertian-fungsi-dan-sejarah-microsoft.html?m=1
Iffah binti Zulkifli
Kuliah Syariah Islamiah
Universiti Al-Azhar Kaherah
Muat turun PDF Risalah Multimedia Siri-37 – Jenis-jenis Microsoft Office dan Kegunaannya