KAHERAH, 12 Mei – 19 Mei 2021M – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2021 (FAIZIN ’21) anjuran Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2020/2021 bertemakan “وجعلنا وإياكم من الفائزين” telah diadakan di Wisma Sultan Muhammad V, Wisma Tengku Mahkota Kelantan dan kediaman ahli masing-masing.
Majlis FAIZIN ’21 dianjurkan sebagai salah satu usaha bagi menghayati hari kebesaran Islam yang disambut pada setiap tahun di bulan Syawal. Antara objektif majlis ini diadakan adalah bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah islamiah dalam kalangan ahli KPKM , memupuk semangat kerjasama, budaya tolong-menolong dalam kalangan ahli serta meningkatkan pengetahuan ahli dalam segenap bidang ilmu sekaligus menerapkan usul dan pembawaan KPKM dalam setiap aktiviti.
Majlis FAIZIN ’21 pada kali ini bermula pada hari Rabu 12 Mei 2021 bersamaan 30 Ramadan 1442H dengan mengadakan Solat Sunat Tasbih secara berjemaah di Surau Wisma Sultan Muhammad V dan Surau Wisma Tengku Mahkota Kelantan. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan siaran tayangan Takbir Raya dan Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1442H yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad Adam bin Mohd Rasul, Yang Dipertua KPKM 2020/2021 secara siaran langsung di laman rasmi Facebook KPKM.
Pada hari Khamis, 13 Mei 2021M bersamaan 1 Syawal 1442H, Majlis FAIZIN ’21 bermula pada jam 5:30 pagi dengan mengadakan Solat Sunat Aidilfitri secara berjemaah kemudian diikuti dengan bacaan Khutbah Hari Raya Aidilfitri yang disampaikan oleh aktivis KPKM iaitu Ustaz Mohamad Atiquddin bin Omar bertempat di Surau Wisma Sultan Muhammad V dan Ustaz Muhammad Firdaus bin Burhan bertempat di Surau Wisma Tengku Mahtoka Kelantan.
Setelah itu, majlis dimeriahkan lagi dengan diadakan Majlis Perasmian FAIZIN ’21 yang dirasmikan oleh al-Fadhil Ustaz Afif Ab Fattah bin Mad Rozali, Anggota Lembaga Penasihat KPKM 2020/2021 serta sedikit ucapan daripada Pengarah Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2021 (FAIZIN ’21) berkenaan perjalanan FAIZIN ’21 yang juga diadakan secara siaran langsung di laman rasmi Facebook KPKM.
Walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak dapat diadakan seperti sebelum ini, FAIZIN ’21 tidak melepaskan peluang dengan mengadakan aktiviti Majlis Rumah Terbuka di Rumah Negeri dan rumah sewa ahli KPKM bagi mengeratkan lagi ukhuwah islamiah dalam kalangan ahli KPKM mengikut SOP yang telah ditetapkan. Berikutan keadaan pandemik Covid-19, FAIZIN ’21 telah mengadakan majlis mengikut norma baharu dengan menetapkan giliran kehadiran dan beberapa garis panduan SOP yang harus dipatuhi setiap ahli. Majlis Rumah Terbuka ini diadakan selama beberapa hari mengikut kawasan yang telah ditetapkan, iaitu kawasan Bukhori, berdekatan Wisma, Mahattah, Mahkamah, Asyir dan Darrasah.
Dalam usaha mengeratkan hubungan antara ahli KPKM, FAIZIN ’21 juga turut menyediakan pengisian rohani kepada ahli KPKM dengan mengadakan Kuliah Subuh Khas FAIZIN ’21 secara langsung di laman rasmi Facebook KPKM. Kuliah Subuh Khas FAIZIN ’21 yang bertajuk “Kemenangan Syawal Yang Dirai” ini diadakan pada tarikh 14 Mei 2021 bersamaan 2 Syawal 1442H telah disampaikan oleh Ustazah Nor Tamziah binti Pauzi. Antara objektif Kuliah Subuh Khas ini diadakan adalah untuk memberi kefahaman kepada ahli tentang hakikat kemenangan yang sebenarnya setelah menjalani ibadah sepanjang Ramadan.
Akhir kalam, mudah-mudahan dengan adanya Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2021 (FAIZIN ’21) ini, jalinan ukhuwah antara ahli KPKM dapat dikukuhkan dan dieratkan lagi serta mencapai objektif yang ditetapkan melalui aktiviti-aktiviti yang telah disusun serta dapat merealisasikan pembawaan dan usul KPKM. Semoga usaha kecil dan murni ini mendapat keberkatan dan keredaan daripada Allah SWT.
Disediakan oleh:
Muhammad Izam Firdaus bin Idros
Setiausaha Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2021 (FAIZIN ’21),
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2020/2021.