ADAB DAN AKHLAK YANG KIAN TERHAPUS
Adab berasal dari perkataan Arab iaitu أدب yang memberi maksud perilaku, perbuatan kebaikan, kesantunan, moral, sopan santun, kesusilaan dan kemanusiaan. Manakala perkataan akhlak berasal daripada perkataan أَخْلاَقٌ iaitu kata jamak daripada perkataan خُلُقٌ bererti tabiat, kelakuan, perangai dan tingkah laku, adat kebiasaan, malah ia juga bererti agama itu sendiri.
Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“إنَّما بُعثتُ لأتَمِّمَ مكارمَ الأخْلاقِ”
Mafhumnya: “Sesungguhnya aku (Nabi ﷺ) diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”
(Hadis riwayat Bukhari)
- Bagaimana dan dari mana perlu kita belajar akhlak?
Dalam Islam, seorang yang perlu kita jadikan contoh pada semua perkara ialah Nabi junjungan kita Muhammad ﷺ. Hatta dalam perniagaan sekalipun Rasulullahﷺ telah mengajarkan kepada kita cara-caranya.
Begitu juga dengan akhlak. Untuk mempelajari akhlak kita perlu jadikan Rasulullahﷺ sebagai contoh. Bagaimana kita ingin menjadikan Rasulullahﷺ sebagai contoh, sedangkan Rasulullahﷺ telah lama wafat? Jawapannya ialah al-Quran.
- Kenapa al-Quran menjadi jawapan kepada akhlak Rasulullah ﷺ?
Seseorang telah datang kepada isteri Nabiﷺ Aisyah r.a dengan menanyakan tentang keperibadian (akhlak) Rasulullah ﷺ. Maka, Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah r.a menjawab:
“كَانَ خُلُقُ نَبِيِّ اللَّه ﷺ الْقُرْآنَ”
Mafhumnya: “Akhlak beliau (Nabi ﷺ) adalah al-Quran.”
(Hadis riwayat Muslim)
Di dalam hadis ada menyebutkan:
يا أُمَّ المُؤمِنينَ، أخْبِريني بخُلُقِ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، قالت: كان خُلُقُه القُرآنَ، أمَا تَقرَأُ القُرآنَ، قولَ اللهِ عزَّ وجلَّ: وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ
Mafhumnya: “Wahai Ummul Mukminin, beritahukanlah kepadaku akan akhlaknya Rasulullah ﷺ”, beliau menjawab: Akhlak beliau adalah al-Quran, apakah kamu tidak membaca al-Quran, Firman Allahﷻ di dalam al-Quran: Dan sesungguhnya engkau (Nabi ﷺ) di atas budi pekerti yang agung.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Maka tidak dapat tidak cara untuk mempelajari akhlak yang sempurna ialah melalui al-Quran dengan mentadabbur dan memahami ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh penghayatan.
Allah ﷻ berfirman di dalam al-Quran mengenai akhlak baginda Rasulullah ﷺ:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Mafhumnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullahﷺ itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allahﷻ dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allahﷻ sentiasa (dalam masa susah dan senang)”.
(Surah al-Ahzab: ayat 21)
Ibnu Mubarak pernah berkata:
طلبت الأدب ثلاثين سنةً, وطلبت العلم عشرين سنةً
“Kami mempelajari adab selama 30 tahun dan pelajari ilmu selama 20 tahun.”
Imam Malik rahimahullahu taala juga pernah berkata:
تَعَلَّم الْأَدَبَ قَبْلَ أَنْ تَتَعَلَّمَ الْعِلْمَ
“Belajarlah adab sebelum kamu mempelajari ilmu.”
Di sini, kita dapat lihat bahawa kedudukan adab itu lebih tinggi daripada ilmu. Ramai lagi ulama-ulama lain yang pernah berkata mengenai hal adab.
Dengan adab dan akhlak yang baik, timbangan kebaikan kita di akhirat kelak menjadi berat. Oleh itu, berusahalah untuk menjadi seorang yang beradab dan berakhlak mulia. Jangan pernah kita menyakitkan hati orang lain dengan kelakuan kita. Kadangkala, hanya kerana perbuatan buruk kita yang sedikit dapat membuat orang lain terasa hati atau tidak senang. Dan itu akan menyekat kita dari memasuki syurga Allah ﷻ.
Seorang muslim yang baik ialah mereka dari kalangan muslim yang lain selamat dari lisan dan tangannya.
Nik Ahmad Mukhlis bin Nik Yusri
Kuliah Usuluddin,
Universiti al-Azhar, Kaherah.
Muat turun PDF Risalah Fajar Jumaat Siri 472 – Adab Dan Akhlak Yang Kian Terhapus