MULTIMEDIA SEBAGAI WASILAH DAKWAH ISLAM
Multimedia merupakan gabungan antara dua perkataan iaitu Multi dan media. Multi bermaksud banyak manakala media pula bermaksud tempat, sarana atau alat yang digunakan untuk menyampaikan informasi. Di sini dapat kita fahami maksud ‘multimedia’ secara umumnya adalah merupakan satu wadah atau penyatuan beberapa media yang kemudian didefinisikan sebagai elemen-elemen pembentukan multimedia. Elemen-elemen pembentukan multimedia tersebut adalah seperti teks, gambar, suara, animasi dan video. Multimedia merupakan suatu konsep atau teknologi baru bagi bidang teknologi informasi, yang mana informasi dalam bentuk teks, gambar, suara, animasi dan video dapat disatukan dalam satu komputer untuk disimpan, diproses dan dipersembahkan.
Peranan Multimedia
Globalisasi kini, multimedia dilihat menjadi suatu keperluan kepada manusia dalam mendapatkan informasi dan maklumat. Tambahan pula kehidupan manusia kini yang tidak terlepas dengan teknologi sama ada dari sudut pendidikan, kesihatan, perindustrian dan sebagainya secara tidak langsung telah meningkatkan perkembangan multimedia kepada kehidupan manusia, Malahan ianya juga dimanfaatkan di setiap sektor untuk pelbagai keperluan. Antaranya ialah:-
1. Sektor Pendidikan
Proses pembelajaran yang lebih menarik, interaktif, jumlah waktu belajar dapat dikurangkan, kualiti belajar dapat ditingkatkan dan proses belajar dan mengajar dapat dilakukan di mana-mana dan bila-bila masa sahaja, serta sistem pembelajaran dapat ditingkatkan.
Selain itu, manfaat yang dapat diperoleh dari sebuah multimedia untuk pendidikan adalah:-
- Memperbesarkan benda yang sangat kecil dan dapat dilihat dengan mata kasar seperti kuman, bakteria, virus dan sebagainya.
- Memperkecilkan benda yang sangat besar yang tidak dapat dibawa ke tempat pembelajaran seperti gajah, rumah, gunung dan sebagainya.
- Mempersembahkan benda atau peristiwa yang kompleks, rumit dan pergerakan cepat atau lambat sesuatu benda seperti sistem tubuh manusia, pergerakan suatu mesin, peredaran planet, berkembangnya bunga dan sebagainya
- Mempersembahkan benda atau peristiwa yang jauh dari pandangan mata seperti bulan, bintang dan sebagainya
- Mempersembahkan benda atau peristiwa yang berbahaya seperti letusan gunung berapi, harimau, racun dan sebagainya.
- Meningkatkan minat sekaligus menarik perhatian pelajar untuk belajar
2. Sektor Kesihatan
Dewasa ini, dunia dikejutkan dengan kehadiran suatu wabak yang membadai ke seluruh dunia iaitu wabak Corona Virus (Covid-19). Disini kita dapat melihat peranan yang cukup besar yang akan dimainkan oleh multimedia untuk tujuan pengkajian. Pengkajian dengan menggunakan multimedia bagi memeriksa tubuh manusia yang terkena wabak Corona Virus, dan kemudiannya mengembangkan teknik dan cara yang paling tepat bagi membasmi penularan wabak ini.
3. Sektor Perindustrian
Disektor industri, multimedia digunakan sebagai cara untuk memberikan informasi bagi membantu pemegang saham, rakan kerja dan usahawan. Multimedia ini juga bermanfaat untuk memberikan latihan karyawan, pengiklanan dan penjualan produk di seluruh dunia tanpa batasan melalui web.
Sumbangan Multimedia Terhadap Islam
Menyampaikan dakwah Islam tidak hanya terhad di masjid atau surau bahkan ianya dapat dimanfaatkan dengan adanya multimedia bagi meluaskan lagi penyampaian ke seluruh dunia. Justeru, setiap masyarakat Islam perlu memainkan peranan penting dalam menguasai teknologi multimedia, bukan sekadar menjadi pengguna biasa sahaja bahkan boleh membangunkan sistem maklumat atau perisian sendiri berasaskan acuan Islam dan yang pentingnya dapat menggarap segala bentuk teknologi mengikut tasawwur Islam. Sebagai kesimpulan, multimedia ini sememangnya menjadi satu rahmat kepada umat Islam sesuai dengan risalah Islam sebagai agama yang mendukung penggunaan dan penyebaran maklumat serta pengetahuan.
Sumber:
1. https://salamadian.com/pengertian-multimedia/
2. https://didikwirasamodra.wordpress.com/2008/09/05/multimedia%C2%A0pembelajaran%C2%A0interaktif/
3. http://an-nuur98.blogspot.com/2018/03/multimedia-dari-perspektif-al-quran.html?m=1
Disediakan oleh:
Nik Ilham Darwish bin Mohd Yuazhar
Kuliah Bahasa Arab, Universiti al-Azhar
Muat turun PDF Risalah Multimedia siri ke-36