PEMBENTUKAN FIKRAH DAN SAHSIAH
Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu” (Surah al-Baqarah: Ayat 208)
Fikrah itu adalah pemikiran. Lalu apa yang kita faham tentang Islam? Ada orang faham Islam itu adalah setakat ibadah semata. Ada yang faham Islam itu adalah politik semata. Ada orang faham Islam itu adalah akhlak semata. Pada hakikatnya, Islam itu adalah agama Allah yang syumul, lengkap dan sempurna.
Imam Hassan al-Banna menjelaskan bahawa pembinaaan fikrah dan sahsiah ini merupakan titik permulaan dalam dakwah, seterusnya menjadi batu-bata dalam pembinaan masyarakat umat Islam. Tidak dapat tidak, titik permulaan ini mestilah betul. Itulah matlamat kita selaku hamba yang mengucapkan dua kalimah syahadah. Tidak cukup sekadar bersumpah dan berjanji serta mengakui, tidak ada yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, firman Allah SWT:
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumnya.” (Surah al-Hasyr: Ayat 7)
Rasulullah SAW membina sahsiah para sahabat bermula dengan didikan rohani melalui qiamullail misalnya, untuk mendidik jiwa. Jiwa yang terdidik adalah jiwa yang terlatih untuk menahan ujian, saling menasihati dengan kesabaran terhadap berbagai ujian yang menimpanya dan dari berbagai rintangan yang menghalangnya pada jalan dakwah ini.
Hasil dari didikan Rasulullah SAW ini amatlah lumayan apabila peribadi-peribadi yang lahir dari acuan Rasulullah SAW menjadikan diri para sahabat benar-benar memahami Islam secara syumul. Apabila ianya membuahkan hasil, bererti semakin bertambahlah pengabdiannya dan semakin besarlah pengorbanannya demi agama ini. Bahkan keinginan untuk mati syahid di jalan Allah adalah obsesi yang selalu diusahakannya.
Proses pembinaan fikrah dan sahsiah ini terbahagi kepada 3:
- Bermula dengan TAHU agama.
Carilah ilmu dengan banyak membaca dan berkongsi serta hadirlah ke kuliah dan ceramah. Kemudian istiqamahlah, maka fikrah akan terbentuk dengan mantap dan matang.
- Kemudian MAHU beragama.
Lazimilah qiamullail dan hadirkanlah diri ke usrah kerana ini merupakan pembinaan asas. Kita mestilah mahu menerima diri kita untuk diajar dan ditarbiah.
- Seterusnya MAMPU dalam beragama.
Ianya membuatkan kita tidak teragak-agak untuk mengorbankan diri kita atas nama Allah dan Rasul, demi menegakkan Islam dan meninggikan agama Islam.
Apabila kita berjaya membina fikrah dan sahsiah dengan baik, tidak mustahil kita dapat menjadi seperti Sultan Muhammad Al-Fateh. Wajibkanlah diri untuk berubah, cari dan istiqamahlah dengan tarbiah kerana titik awal dakwah adalah kefahaman yang syumul tentang Islam. Lakukanlah tiga proses pembinaan fikrah dan sahsiah, jangan biarkan proses ini terhenti di separuh jalan walaupun dengan cara merangkak bahkan bertiarap sekalipun kerana ramai yang gagal apabila berada di proses yang kedua, iaitu qiamullail dan usrah.
Latihlah diri kita untuk membina fikrah dan sahsiah. Keimanan dan ketakwaan inilah yang akan menjadi prinsip utama dalam pembentukan fikrah dan sahsiah. Persiapkanlah anggota kita untuk menjadi penyambung kepada perjuangan Rasulullah SAW.
Fikrah yang dibawa oleh Nabi, itulah fikrah kita.
Fikrah kita merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah.
“Biah Solehah Dijaga, Ummah Terbina”
Disediakan oleh :
Tuan Nur Mariyah binti Tuan Mohd Hanafi,
Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Mesir.
Rujukan:
http://ubs-pmram.blogspot.com/2013/02/fikrah-dan-syakhsiah.html?m=1
Muat turun PDF Risalah UBS S03 (Pembentukan Fikrah & Sahsiah)