IKHTILAT DALAM ISLAM
Seringkali kita dikhabarkan dengan berita-berita yang tidak diingini terutama yang berkaitan dengan remaja. Keadaan remaja sekarang sangat-sangat membimbangkan. Khalwat, zina dan rogol seolah-olah bukan lagi perkara besar bagi segelintir masyarakat kita. Bahkan pelajar agama sendiri juga turut terperangkap di dalam gejala sedemikian dan kita mendapati bahawa masalah-masalah tersebut kebanyakannya berpunca daripada pergaulan bebas.
Justeru, tugas kita selaku para penuntut ilmu hari ini semakin mencabar dalam memberi kefahaman yang jelas kepada para remaja berkenaan garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak sebagai seorang muslim dan mukmin dari aspek pergaulan antara lelaki dan perempuan.
Islam telah menggariskan batas-batas pergaulan yang perlu dijaga antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah an-Nur, ayat 30 dan 31:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”
(Surah an-Nur: 30-31)
Antara batas pergaulan yang perlu dijaga ialah tidak berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi tanpa ditemani oleh mahram bagi pihak lelaki atau perempuan tersebut. Tersebut di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan (yang ajnabi) melainkan bersama-sama perempuan tersebut mahramnya.”
Justeru, perbuatan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi tanpa ditemani orang ketiga adalah haram dan dikira sebagai khalwat.
Selain daripada itu, antara hikmah larangan seorang lelaki berdua-duaan bersama seorang perempuan ialah kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berkemungkinan memberi kemudaratan yang lebih besar seperti terjerumus ke dalam maksiat, perzinaan dan runtuhnya institusi kekeluargaan.
Namun, terdapat beberapa pengecualian dan keadaan ikhtilat yang dibenarkan.
Para fuqaha juga ada menyebutkan beberapa pengecualian serta keadaan yang dibenarkan bagi seorang lelaki itu berdua-duaan dengan wanita. Dalam hal ini, Imam an-Nawawi menyatakan bahawa dikecualikan daripada isu ini (berdua-duaan dengan bukan mahram) kesemua tempat-tempat yang terdapat padanya darurat seperti seseorang (lelaki) menjumpai seorang perempuan yang sesat di jalanan atau seumpamanya, maka diharuskan kepadanya untuk menemani wanita itu. Bahkan menjadi satu tuntutan kepadanya untuk melakukan hal tersebut sekiranya merasa bimbang perihal keselamatan wanita itu jikalau ditinggalkan bersendirian. Dalam situasi ini, tiada khilaf padanya dan berdalilkan dengan hadis Saidatina Aisyah RA mengenai peristiwa al-Ifk (fitnah).
Bertitik tolak dari hal ini, dapatlah kita simpulkan bahawa sistem penggunaan musyrif yang dilaksanakan oleh Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir jelas menepati syarak yang mana bertujuan menjaga keselamatan dan maruah wanita.
Demikian juga, Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani menyebutkan di dalam kitabnya bahawa dibolehkan bagi lelaki memberi salam kepada wanita atau sebaliknya, dengan syarat selamat daripada timbulnya fitnah (tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya).
Oleh itu, dapat difahami bahawa tempat yang menjadi laluan orang ramai kebiasaannya selamat dan jauh daripada fitnah (tidak menimbulkan curiga). Oleh sebab itu, mereka meletakkan ianya sebagai syarat. Begitulah juga halnya bagi tempat-tempat awam lain seperti jalan, taman permainan, taman-taman bunga dan lain-lain yang menjadi laluan orang ramai serta jauh daripada fitnah.
Kesimpulannya, bagi membendung masalah-masalah yang kian meluas ini, perlulah kita menyebarkan dan menjelaskan konsep pergaulan syarie yang telah ditetapkan oleh Islam melalui program-program kemasyarakatan, kuliah-kuliah, poster dan seumpamanya agar biah solehah mahasiswa di bumi Anbia ini terus terpelihara.
Semoga kita tergolong dalam golongan yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW sebagai sebaik-baik manusia, yang mana kriterianya ialah sentiasa menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
“Biah Solehah Dijaga, Ummah Terbina”
Disediakan oleh:
Marliana bt Mohd Hafiza,
Kuliah Bahasa Arab, Universiti al-Azhar, Mesir.
Muat turun PDF Risalah UBS S02 (Ikhtilat Dalam Islam)