JOM KENALI APA ITU KARIES GIGI?
Karies gigi lebih dikenali sebagai ‘gigi berlubang’ dalam kalangan masyarakat kita. Masalah ini boleh dialami oleh semua golongan masyarakat tidak kira kanak-kanak atau dewasa. Ianya boleh berlaku pada gigi kekal atau gigi susu.
Bagaimana karies gigi boleh terjadi?
Pada kebiasaannya bakteria sentiasa terbentuk di atas permukaan gigi dalam rongga mulut dalam bentuk satu lapisan nipis yang dikenali sebagai plak. Perubahan di dalam persekitaran rongga mulut seperti suhu, pH dan sistem ketahanan badan boleh mengganggu hubungan simbiotik normal dan boleh menambah risiko penyakit pergigian.
Setiap kali selepas mengambil makanan, bakteria yang ada di dalam plak akan bertindak balas dengan gula yang ada di dalam makanan untuk menghasilkan asid. Asid yang terhasil akan bertindak ke atas permukaan gigi dan melembutkannya melalui proses demineralisasi (proses menghilangkan mineral, dalam bentuk ion mineral, dari enamel gigi).Sekiranya asid yang terhasil tidak dineutralkan, proses demineralisasi akan berterusan mengakibatkan terjadi karies.
Bagaimana ingin mengetahui tanda-tanda karies?
- Perubahan warna gigi (bintik putih atau bintik hitam)
- Liang-liang kecil pada permukaan gigi
- Lubang yang ketara
- Makanan mudah melekat pada permukaan gigi.
- Rasa sakit dan sengal bila minum air panas dan sejuk
Kawasan permukaan gigi yang mudah terjejas kepada kejadian karies adalah:
- Celah-celah gigi hadapan dan belakang
- Kawasan gigi yang berlapis
- Permukaan gigi geraham
Apakah jenis karies?
- Karies dibahagian lapisan enamel (lapisan terluar gigi ,lapisan gigi yang paling keras)
- Karies dibahagian lapisan enamel dan dentin (lapisan yang berada di bawah enamel)
- Karies yang telah merebak ke dalam lapisan pulpa (saraf gigi)
- Karies bahagian akar
Rawatan yang sesuai untuk karies
- Karies melibatkan lapisan enamel.
Biasanya tidak sakit dan kerosakan struktur gigi sukar dilihat dengan mata kasar. Antara rawatannya:
- Rawatan pencegahan dengan sapuan bahan fluorida.
- Tampalan mudah jika lubang agak ke atas.
- Karies yang melibatkan lapisan dentin.
Biasanya sakit dan sengal ketika makan atau berkumur dan lubang kelihatan lebih ketara dan dalam. Rawatan yang disyorkan adalah tampalan secepat mungkin.
- Karies yang melibatkan bahagian pulpa.
Pesakit akan mengalami sakit yang teruk dan berdenyut. Sekiranya dibiarkan sahaja, infeksi boleh merebak kebahagian akar gigi dan boleh mengakibatkan gusi bernanah.Gigi akan mati dan memerlukan rawatan salur akar dan tampalan seterusnya. Dalam keadaan dimana struktur gigi sudah banyak rosak, korona baru perlu dibuat.
Bagaimana mencegah karies?
- Amalkan tabiat pemakanan sihat dengan:
- Kurangkan kekerapan mengambil makanan di antara waktu makan utama
- Kurangkan pengambilan makanan bergula dan melekit
- Kurangkan pengambilan minuman berkarbonat dan kordial
- Penjagaan hygiene mulut yang betul.
- Memberus gigi secara berkesan setiap kali selepas makan dan sebelum tidur
- Gunakan ubat gigi berfluorida bagi membantu menguatkan gigi
- Gunakan flos bagi pembersihan di antara celah-celah gigi
- Pemeriksaan pergigian secara berkala sekurang-kurangnya sekali setahun agar rawatan pencegahan dapat dijalankan.
- Sekiranya memerlukan rawatan, segera datang ke klinik gigi atau hubungi pihak berwajib.
Disediakan oleh:
Nurul Basyiirah Binti Mohamed
Kuliah Pergigian, Universiti Al-Azhar, Kaherah
Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri ke-101