TIPS MENJAGA KESIHATAN MENGIKUT SUNNAH
Pernahkah anda terdengar bahawa Rasulullah SAW pernah ditimpa sakit yang teruk? Sebenarnya Rasulullah SAW banyak menunjukkan contoh kepada kita bagaimana baginda menjalani hidup untuk kekal sihat. Benarlah, menghidupkan sunnah nabi akan memberi banyak kelebihan dan memperbaiki kerosakan, malah diberi pahala.
Berbalik kepada tajuk asal, bagaimana cara Rasulullah SAW menjaga kesihatan?
Antara sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam menjaga kesihatan diri adalah:
- SELALU BANGUN SEBELUM WAKTU SUBUH
Rasulullah SAW mengajak umatnya untuk bangun sebelum waktu Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah. Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara waktu Subuh yang baik terutama untuk mencegah penyakit tibi, improve blood preasure dan heart rate serta memperkuatkan immune dan akal fikiran.
- CARA RASULULLAH SAW MENJAGA KESIHATAN ADALAH DENGAN AKTIF MENJAGA KEBERSIHAN
Rasulullah SAW sentiasa bersih dan rapi. Setiap hari Khamis atau hari Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan memakai harum-haruman.” (HR. Bukhari & Muslim)
- RASULULLAH SAW TIDAK PERNAH MAKAN BERLEBIHAN
“Tidaklah anak Adam memenuhi wadah yang lebih buruk daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam memakan beberapa suapan untuk menegakkan punggungnya. Namun jika ia harus (melebihinya) maka hendaknya sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk bernafas.” (HR. Ahmad)
Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada bulan Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain daripada selalu berpuasa sunat.
- RASULULLAH SAW MENJAGA KESIHATAN DIRI DENGAN GEMAR BERJALAN KAKI
Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar. Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan.
- RASULULLAH SAW BUKAN SEORANG PEMARAH
Nasihat Rasulullah SAW ‘jangan marah’ diulangi sehingga tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.
Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, apabila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.
Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wudhu’ dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah di hati.
- SENTIASA OPTIMIS DAN TIDAK PUTUS ASA
Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakkal kepada Allah SWT.
- TIDAK PERNAH IRI HATI
Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”
- SEORANG YANG PEMAAF
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf bagi memastikan badan sihat.
Kesimpulannya, Rasulullah SAW adalah seseorang yang sangat menjaga kesihatan. Bukan setakat kesihatan jasmani dan fizikal bahkan rohani baginda sangat terjaga. Marilah kita mencontohi akhlak dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW. Kesihatan yang baik akan membantu ke arah pembentukan masyarakat yang cemerlang, apatah lagi apabila konsep penjagaan kesihatan tersebut adalah adaptasi dari amalan gaya hidup Rasulullah SAW.
Disediakan oleh:
Abdul Azim bin Abd Rahman
Kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah
Muat turun PDF Risalah Kesihatan siri ke-100