KAHERAH, 19 DAN 20 OKTOBER 2019 – Telah berlangsung Muktamar Sanawi Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir Kali Ke-24 bertempat di Wisma Sultan Muhammad Ke-V. Muktamar Sanawi pada kali ini bertemakan “Bersatu Hati Membina Ummah”. Muktamar Sanawi berlangsung selama dua hari bermula jam 8 pagi pendaftaran sehingga 10 malam.
Antara objektif yang telah digariskan adalah mengumpulkan ahli seluruh Mesir untuk berbincang bagi kebaikan KPKM pada masa akan datang. Kedua, melahirkan ahli yang proaktif dan kritis dalam menyuarakan pendapat dan komentar. Ketiga, menyedarkan pimpinan dan ahli akan tanggungjawab serta tugas yang terpundak di bahu masing-masing. Keempat, mendidik pimpinan dan ahli melalui kefahaman medan muktamar sebagai salah satu medan tarbiah. Kelima, menyatukan fikrah ahli dan pimpinan dalam menjayakan pembawaan yang bakal dibawa oleh pimpinan. Dan yang terakhir, memberi pengalaman berorganisasi kepada ahli dan pimpinan bagi melahirkan generasi kepimpinan yang berkredibiliti.
Muktamar Sanawi pada kali ini dirasmikan oleh YB Haji Wan Roslan bin Wan Hamat, Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan Dan NGO Negeri Kelantan. Seterusnya, majlis disambung dengan sesi kedua iaitu pada jam 9.30 pagi sehingga 3.00 petang. Majlis dimulakan dengan sesi Pembentangan Ucapan Dasar Yang Dipertua Oleh Ustaz Asrol Hasnan bin Mohd Zin, Yang Dipertua KPKM 2018/2019. Setelah selesai pembentangan Ucapan Dasar YDP, majlis beralih kepada perlantikan Setiausaha Sidang MS kali ke-24 bagi kedua-dua belah pihak ikhwah dan akhawat. Seterusnya, agenda diteruskan lagi dengan slot Perbahasan Ucapan Yang Dipertua daripada muktamirin dan muktamirat yang mengemukakan hujah dan sokongan terhadap ucapan.
Sesi ketiga bermula pada jam 3.30 petang dan majlis diteruskan lagi dengan Pembentangan Laporan Aktiviti Tahunan yang dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Nazhif bin Mohd Razif, Setiausaha Agung Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2018/2019 setelah Peringatan MS Kali Ke-23 diluluskan. Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan sesi soal jawab antara ahli dan pimpinan. Pembentangan dimulakan dengan Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Sukan dan berakhir dengan laporan Yang Dipertua. Seterusnya, majlis disambung lagi dengan Pembentangan Laporan Kewangan oleh Ustaz Mohamad Atiquddin bin Omar, Bendahari Agung KPKM 2018/2019. Pembentangan ini juga diteruskan dengan sesi soal jawab antara ahli dan pimpinan. Setelah berakhir Pembentangan Laporan Aktiviti Tahunan Dan Laporan Kewangan. Maka, berakhirlah Muktamar Sanawi pada hari pertama dan majlis ditangguhkan.
Pada hari kedua program Muktamar Sanawi kali ke-24, para muktamirin dan muktamirat hadir seawal jam 7.45 pagi bagi mendaftar diri ke program. Sekitar jam 9.00 pagi, majlis bermula dengan sesi Pembentangan Usul Yang Diterima oleh Ustaz Mohd Adri Afzan Bin Marzelan dengan usul yang berbunyi “Menjadikan KPKM sebagai medan pentarbiahan dan pemerkasaan gerak kerja amar makruf nahi mungkar bagi menjaga biah solehah dikalangan ahli”. Seterusnya, pengerusi tetap memberi ruang kepada muktamirin dan muktamirat untuk membahaskan usul ini supaya para ahli yang hadir dapat memahami item yang ingin dibawa bersama pada sesi hadapan. Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan sesi cadangan dan muhasabah bagi semua pimpinan ahli.
Kemudian, sesi kelima brmula sekitar jam 2.30 petang dan majlis disambung dengan pemilihan Pengerusi Tetap MS Kali Ke-25 dan Juru Audit KPKM sesi 2019/2020. Setelah dicadang dan disokong. Maka, terlantiklah dua orang pengerusi tetap dan dua orang juru audit serta seorang juru audit simpanan KPKM 2019/2020. Selepas itu, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi para pemenang dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Lajnah Perumahan dan Penerbitan serta hadiah cabutan bertuah. Anugerah Musyrif terbaik dan Anugerah Emas KPKM turut disediakan cenderamata sebagai penghargaan daripada KPKM. Seterusnya, ucapan terakhir daripada setiap pimpinan bagi sesi 2018/2019 dan ucapan ini diakhiri dengan ucapan Ustaz Asrol Hasnan bin Mond Zin, Yang Dipertua KPKM 2018/2019.
Akhirnya, majlis diserahkan kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantana Mesir bagi mengumumkan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir 2019/2020 dan sesi taaruf. Setelah selesai taaruf Ahli Jawatankuasa Tertinggi, majlis diakhiri dengan ucapan penangguhan Yang Dipertua KPKM 2019/2020 dan bacaan doa.
Disediakan oleh:
Nurul Asyikin binti Alim
Setiausaha III Muktamar Sanawi KPKM Kali Ke-24
Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir 2018/2019